Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Untuk apa-apa bicara berkaitan ilmu dan amal gerakan Islam.

Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Postby ABU SIRR on Wed Apr 21, 2004 8:44 am

Fiqh Ad-Dakwah: Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Dikirimkan oleh: editor pada Feb 05, 2004

Syariat Islam telah menggariskan prinsip-prinsip serta adab untuk bermuzakarah, berdialog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan tersebut berteraskan kepada akal yang sihat, pemikiran yang bernas serta berdebatan yang dilakukan dengan sebaik-baiknya. Kesemua ini bertujuan untuk mencari kebenaran, kebaikan dan manfaat manusia seluruhnya. Perbezaan pendapat manusia sama ada dalam perkara agama atau dunia merupakan merupakan lumrah hidup dan tabie manusia.

Antara sebab-sebab timbulnya perbezaan pendapat ialah kefahaman terhadap sesuatu nas dan dalil yang dipegang atau perbezaan istilah bahasa. Di samping itu, berpegang kepada taklid semata-mata tanpa ada ilmu pengetahuan., kefanatikan terhadap pandangannya, hasad dengki dan mengikut hawa nafsu. Al-Quran telah menegaskan kerasulan nabi Muhammad dan setengah daripada golongaan musyrikin itu mengakui kebenaran Rasul. Oleh kerana perasaan fanatik, hasad dengki dan sombong menyebabkan mereka mengingkari kerasulan Muhammad s.a.w.

Di samping mengakui adanya perbezaan pendapat, Islam juga menggariskan panduan untuk umatnya bermuzakarah dan berdialog. Dalam tradisi keilmuan Islam, ada puluhan buah buku yang menulis mengenai perkara ini atas berbagai tajuk seperti Ilmu al-Jidal (Ilmu Berdebat), Adab al-Iktilaf (Adab Perbezaan Pendapat) dan Adab al-Hiwar (Adab Berdialog). Antara buku tersebut ialah al-Kifayah fi fann al-Jidal oleh Imam al-Haramain (m,. 478H ), al-Ma’unah fi al-Jidal oleh Syirazi (m. 476H) dan Tarikh al-Jidal oleh Muhammad Abu Zahrah, Adab al-Iktilaf oleh Dr. Taha Jabir al-Alwani dan Adab al-Hiwar oleh Syeikh Sayyid Muhammad al-Tantawi.

Antara adab-adab bermuzakarah yang digariskan oleh syariat Islam ialah muzakarah itu mestilah berprinsipkan kebenaran, jauh dari pembohongan dan waham. Al-Quran telah merakamkan dialog antara nabi Musa dengan firaun ketika mana nabi Musa mengadap firaun atas perintah Allah. Nabi Musa memperkenalkan dirinya sebagai seorang rasul dan membawa bukti keesaan Tuhan dari kejadian alam. Tetapi firaun yang tidak dapat menjawab hujah-hujah nabi Musa menganggap nabi Musa sebagai gila dan ahli sihir. Perbicaraan firaun adalah untuk menegakkan kebatilan. Akhirnya beliau mengugut nabi Musa untuk memenjarakannya. (Taha 42-69, al-Syu’ara 10-48). Perkara yang penting di sini ialah jawapan serta hujah nabi Musa adalah untuk mencari kebenaran yang lahir dari hati yang bersih, jauh daripada penipuan.

Muzakarah itu hendaklah berpegang kepada tajuk yang dibincangkan iaitu tidak keluar dari tema yang mereka perselisihkan. Al-Quran menceritakan kisah kaum nabi Nuh yang menyatakan kepadanya :

“ Berkata dari golongan bangsawan kaumnya, sesungguhnya kami melihat engkau dalam kesesatan yang nyata.” (al-Araf 60).

Lalu dijawab oleh nabi Nuh, “Wahai kaumku, sesunguhnya aku bukan berada dalam keadaan kesesatan tetapi aku adalah rasul yang diutuskan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan kepada kamu risalah Tuhanku dan menasihati kamu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui” (al-Araf 61-62)

Ternyata ayat diatas, jawapan yang diberikan oleh nabi Nuh berteraskan kepada tema persoalan yang ditimbulkan oleh kaumnya dan tidak lari dari tajuk perbincangan.

Muzakarah itu hendaklah mengemukakan hujah-hujah yang jelas dan benar sehingga mereka tidak mampu berhujah lagi. Setelah terbukti kebenaran mereka hendaklah kembali kepada ajaran yang sebenar sebagaimana kisah ahli sihir firaun yang beriman kepada nabi Musa setelah terbukti kebenaran kerasulannya. Begitu juga kita hendaklah kembali kepada kebenaran walaupun orang yang benar itu adalah orang bawahan kita dan kita sanggup menyatakan saya silap dan engkau betul.

Ahli-ahli muzakarah tersebut mestilah bersifat merendah diri dan menjauhkan diri dari sifat sombong serta banga diri. Lihatlah kisah nabi Sulaiman bersama-sama burung Hud-Hud. Walaupun nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang besar namun ia menerima hujah burung itu dengan rendah diri dan bercakap secara hikmah dan lembut. (al-Naml 20-44)

Ahli muzakarah itu hendaklah memberi peluang kepada orang lain memberi pendapat atau hujah sama ada dari pihaknya atau pihak pembangkang. Ia tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya. Ini terbukti melalui dialog Allah dengan Iblis yang tidak mahu sujud kepada nabi Adam. Allah memberi seluas-luasnya peluang kepada Iblis untuk berhujah dan Iblis menyatakan ia lebih mulia dari Adam kerana Adam dijadikan dari tanah sedangkan dirinya dijadikan dari api.

Setelah Allah menjatuhkan hukuman dengan mengeluarkan Iblis dari Syurga, ia masih lagi mengutarakan hujah-hujah sehingga akhirnya ia bersumpah untuk menyesatkan seluruh manusia kecuali orang yang ikhlas beribadat kepada Allah. Akhirnya Allah menyebutkan bahawa Iblis akan dinantikan di akhirat kelak untuk menerima balasan. (al-Baqarah 34, al-Hijr 30-42, al-Isra’ 61-65, al-Araf 16-17) Di sini Allah memberi peluang kepadanya untuk mengatakan isi hatinya dan keinginan hawa nafsu untuk menyesatkan manusia.

Ahli-ahli muzakarah mestilah menghormati pandangan orang lain yang bercakap baik ketika memberi hujah-hujah yang bernas walaupun berbeza dengan pandangannya. Ini terbukti melalui peristiwa muzakarah Abu Bakar dengan Umar bin Khattab mengenai pengumpulan al-Quran selepas perang Yamamah. Abu Bakar pada mulanya enggan menerima tetapi apabila berlaku muzakarah dengan Umar, maka Abu Bakar mengakui kebenaran Umar dalam mengumpul dan menulis al-Quran. Begitu juga kisah Umar bin Khattab mengakui kebenaran Abu Bakar ketika mengisytiharkan perang terhadap orang murtad dan orang yang enggan mengeluarkan zakat yang pada mulanya dipersetujui oleh umar.

Ahli-ahli muzakarah tidak boleh menghukum secara umum dan hendaklah sentiasa berhati-hati dalam kata-kata. Di samping itu, hendaklah meneliti sesuatu masalah dengan penelitian yang rapi. Tidak menggunakan sesuatu istilah atau lafaz kecuali pada tempat yang betul. Ia perlu berdasarkan maklumat yang tepat dan bukan berdasarkan berita angin.

Firman Allah yang bermaksud : “ Wahai orang yang beriman, apabila datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita hendaklah kamu selidiki terlebih dahulu dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.” (al-Hujarat 6)

Perkara yang penting ialah setiap perkataan dan perbuatan merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan disoal di Akhirat kelak. Manusia bertanggungjawab atas apa yang dicakapkannya.

Imam Abdullah bin Mubarak menceritakan kisah seorang wanita tua yang ditemui pada musim haji di Madinah al-Munawwarah selepas menziarahi makam Rasulullah s.a.w. yang mana ia tidak bercakap kecuali dengan jawapan dari ayat-ayat al-Quran. Ketika Abdullah memberi salam maka dijawabnya dengan ayat 58 surah Yassin “ Salam sejahtera dari Tuhan yang Maha Penyayang”. Apabila ditanya ke mana ia hendak pergi dijawabnya dengan ayat 1 dalam surah al-Isra’ , “ Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Majid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya.” Begitulah seterusnya dialog antara mereka dan apabila ditanya apakah menyebabkan beliau menjawab dengan ayat-ayat al-Quran, lalu dijawabnya bahawa setiap perkataan merupakan amanah dan beliau telah berbuat demikian lebih dari empat puluh tahun.

Islam juga menyuruh umatnya supaya berdialog dan bermuzakarah dengan orang bukan Islam dengan sebaik-baiknya : Firman Allah yang bermaksud :

“ Janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara paling baik kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.” (al-Ankabut 46) Dalam hadis terdapat sabda Rasulullah yang bermaksud :“ sesiapa yang menyakiti orang kafir zimmi maka ia menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku maka ia menyakiti Allah.”

Dalam konteks sekarang adab bermuzakarah perlu difahami oleh setiap individu masyarakat kerana perkara ini sentiasa dihadapi oleh kita dalam setiap masa dan tempat. Sementara itu, dialog peradaban dan agama amat penting dalam memastikan tamadun yang dibina itu benar-benar mantap. Oleh demikian, adab-adab yang telah digariskan oleh syariat Islam sewajibnya dipatuhi supaya ia menghasilkan natijah yang terbaik dalam setiap perbincangan dan dialog.

Sikap fanatik kepada kumpulannya sebelum berlakunya muzakarah dan dialog tidak akan membawa kebenaran yang diharapkan malah mungkin akan menimbulkan keadaan yang lebih parah lagi,. Sikap keterbukaan amat perlu kepada setiap individu ahli muzakarah dan dialog untuk mencari kebenaran dan keadilan terbaik.

Bermuzakarah dan berdialog ini bukan tertumpu kepada soal pemerintahan tetapi ia juga berlaku antara suami isteri, anak dan bapa, jiran tetanga dan masyarakat. Pendek kata, ia berlaku dalam semua peringkat masyarakat dan adab-adab tersebut mestilah dipatuhi. Apabila adab-adab tersebut dipatuhi dan dihormati nescaya lahirnya masyarakat yang makmur dan dirahmati Allah.

Oleh

Mohd Rumaizuddin Ghazali
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT

Postby ABU SIRR on Mon Apr 26, 2004 6:43 pm

8)
:matabulat:
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT

Postby ABU SIRR on Thu Apr 29, 2004 6:49 pm

ADAB NI MOLEK DIBACA SEBELUM MENAIP.
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT

Postby ABU SIRR on Sun May 02, 2004 11:12 am

HAYATI ADAB ISLAMI DARI SEGALA SEGI WALAUPUN DENGAN MUSUH. BERANI,TEGAS TAPI BERADAB.
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT

Postby NOOR MISNAH on Thu Aug 26, 2004 10:26 pm

Tapi Abu Sirr yang tak Beradab :oops:
SETIAP YANG HIDUP, PASTI MATI,
SETIAP YANG BERMULA,PASTI ADA AKHIRNYA
NOOR MISNAH
Ahli Berdaftar
Ahli Berdaftar
 
Posts: 78
Joined: Thu Apr 22, 2004 8:14 pm

Postby Biduk on Mon Mar 28, 2005 3:40 pm

kat padang macam2 adab boleh di lihat
padanya itu lembu
adap lembu nak berak
adap lembu meragut
wa'imah adap lembu mengawan pun ada
pilih ikut selera kamu hai lembu
Biduk
Ahli Setia
Ahli Setia
 
Posts: 327
Joined: Tue Mar 19, 2002 8:00 am

Cara Berdiskusi Agama Yang Sebaik-baiknya.

Postby ABU SIRR on Wed May 18, 2005 6:48 pm

Cara Berdiskusi Agama Yang Sebaik-baiknya.


Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, adakah mana-mana ayat al-Qur’an yang menerangkan cara berdiskusi dan berdialog dengan rakan seagama dengan cara yang sebaik-baiknya.
Terima Kasih.


Jawapan HF:

Wa’alaikumussalam,
Antara ayat yang paling jelas menjawab persoalan akhie ialah firman Allah:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [‘Ali Imran 159]

Dalam ayat di atas terdapat beberapa poin penting yang dapat kita kupas:

[Poin 1]

Hendaklah kita bersikap lemah lembut apabila berdakwah. Jika kita bersikap keras dan kasar, mereka akan lari dari kita. Berdakwah ada dua jenis, berdakwah kepada orang bukan Islam kepada Islam dan berdakwah orang Islam kepada Islam yang lebih sempurna.
Jika kita berdakwah kepada orang ramai dengan kata-kata yang kasar tentang sesetengah amalan mereka, maka mereka akan meninggalkan kita, tak kira samada dakwah kita disertai hujah al-Quran dan Sunnah yang sahih atau tidak. Tidak kira samada bercakap yang betul atau salah.

Perhatikan manhaj dakwah yang diajar oleh Allah kepada Nabi Musa dan Harun:

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". [Taha 20: 43-44]

Di atas adalah manhaj dakwah kepada Firaun. Bagaimana pula manhaj dakwah sesama umat Islam ? Tentu lemah lembutnya adalah berkali ganda.

[Poin 2]

Hendaklah kita memaafkan. Dengan sikap ini di dalam hati nurani kita, kita akan dapat berbicara dengan sesama umat dengan baik lagi penuh hikmah. Ingat, walaupun kita sesama umat adakalanya berbeza pendapat, kita tetap adalah umat Islam yang dimaksudkan oleh firman Allah:

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat islam). [Fath 48:29]

Sifat memaafkan adalah antara sunnah Rasulullah ketika berdakwah. Dalam sirah baginda, terdapat banyak contoh pemaafan yang diberikan oleh Rasulullah kepada orang yang menentangnya. Sehingga sifat maaf yang darinya lahir kelemah-lembutan dapat menarik orang yang pada awalnya menentang kembali mendekati baginda. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dengan firmanNya:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41:34]

Sekalipun terhadap orang-orang bukan Islam, sikap kita yang pertama ialah berlemah lembut kepada mereka. Perhatikan firman Allah:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri." [al-Ankabut 29: 46]

Apakah yang hendak dibahas dengan Ahli Kitab kecuali persoalan ketuhanan, trinity dan kedudukan Nabi Isa ? Tetapi dengan isu sebesar ini sekalipun, Allah menyuruh kita berbahas……bukan sekadar cara yang baik, tetapi adalah lebih baik (ahsanu). Maka bagaimana pula dengan sesama umat Islam ?

[Poin 3]

Bermesyuaratlah, yakni kita berdiskusi. Kita sama-sama tahu bahawa banyak orang menolak sesuatu bukan kerana salah tetapi kerana mereka tidak tahu. Dan banyak orang mengamalkan sesuatu bukan kerana betul tetapi kerana sejak kecil telah diajar demikian. Kita juga tahu bahawa banyak orang enggan menerima sesuatu bukan kerana buta atau pekak tetapi kerana berat di hati untuk mengaku bahawa apa yang dilakukan selama ini adalah kurang tepat.

Maka bagi menangani masalah di atas memerlukan banyak sabar, ilmu, dan al-Hikmah. Dan ketiga-tiga ini perlu kita terapkan secara berdiskusi. Yang utama ialah kita cuba rebut peluang untuk mendengarkan kepada mereka ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah.
Kita sama-sama tahu, ramai orang yang tidak kenal al-Qur’an kecuali sekadar hiasan dinding, hantaran kahwin, amalan malam Jumaat dan nasihat serta peringatan kepada mayat. Hadis Nabi jauh lagi.
Maka di sini menjadi kewajipan kita untuk berdiskusi, menyampaikan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah, agar mereka faham apakah yang sepatutnya menjadi dasar dalam beragama.

Perhatikan firman Allah kepada orang-orang Islam yang ketika itu diberi izin untuk sedia menyerang Kota Mekah kerana mereka mencabuli perjanjian Hudaibiyah:

Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan (ayat-ayat) Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). [at-Taubah 9:5-6]


Jika dalam suasana menghadapi perang kita disuruh merebut kesempatan untuk menerangkan ayat-ayat Allah, maka bagaimana pula dalam ketenteraman sesama umat Islam?

Jika kita menghadapi perbezaan pendapat dengan menghukum: itu bid’ah, itu salah, itu haram, maka ini bukan namanya berdiskusi. Berdiskusi ialah kita mendengar pendapat mereka, menyampaikan pendapat kita dan bersama-sama mencari kebenaran antaranya. Adakalanya mereka salah dan adakalanya kita salah.

[Poin 4]

Bertawakal kepada Allah. Perkara penting yang perlu kita ingat, berdakwah ialah menyampaikan, bukan memaksa orang menerima apa yang didakwahkan atau menghukum jika mereka tidak mahu menerimanya. Jika kita memilih dua yang terakhir di atas, dakwah kita yang asalnya adalah satu kebajikan akhirnya akan bertukar menjadi dosa ke atas diri kita sendiri.

Jika kita telah menyampaikan tetapi mereka tidak mahu menerima, maka tugas kita selain bertawakal ialah berfikir, apakah silap dan kekurangan kita sehingga kita gagal ? Apakah yang boleh kita lakukan untuk beroleh kejayaan ? Kenapakah orang masih menjauhkan diri dari sunnah Rasulullah ? Adakah yang menjadi faktor penggagal itu sunnah Rasulullah atau sunnah kita sendiri dalam cuba menegakkan sunnah Rasulullah ? Adakah kita benar-benar mengamalkan sunnah Rasulullah secara keseluruhannya ? Adakah kita hanya mengamalkan sunnah dalam beribadah tetapi tidak dalam berdakwah ?

Jika poin-poin di atas selalu kita praktikkan dengan baik, pasti rakan diskusi kita akan menerima apa yang kita sampaikan dengan baik, tanpa mengira sama ada dia adalah orang bukan Islam atau orang Islam sendiri.

Wassalam.

http://www.al-firdaus.com/index.php
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT

Postby sopet77 on Tue Nov 15, 2005 12:39 am

wa`alaikum salam wrth!
askm!
alhamdulillah dan segal apuji Allah swt yang memberi kesempatan untuk kita semua, mudahan dan di harap kita sentiasa di dalam pelihara dan penjagaan dari-Nya amiin....
alhamdulillah kita di beri lidah dan mulut untuk berbicara dan berkata-kata dengan apa sekali pun walaupun yang mana ianya terkeluar baik ataupun buruk. harapan semoga Allah memberi kekuatan kepada hamba-Nya yang lemah supaya di beri kekuatan untuk menahan amarah dan nafsu yang mendorong ke arah kebinasaan dan kemusnahan akhlak dan nilai-nilai yang Islami ([i]na`uzubillahi min zaliq)
dan juga terhindar dari perbuatan menfitnah dan di fitnah dan pertengkaran yang tidak kearah kebaikan malah ke arah jurang yang membawa kepada perpecahan dan kebinsaaan ummah Islam pada saat ini.
begitu juga halnya dalam berdiskusi, berpendapat dan dialog dan bermuzakarah dalam segala hal dan perbincangan sekali pun, kadang-kadang namanya MANUSIA PASTI ADA KELEMAHAN DAN KEKURANGAN dan tidak terlepas dari penyimpangan dan kecurangan DAN PALING BEST NYA CAKAP TAK SERUPA BIKIN. insyAllah dan mudah-mudahan kita belajar dari kesilapan yang mana timbul dari penyakit menang sendiri, iri hati, nafsu ingin menguasai segala bidang tanpa ada toleransi dan dan ada kepentingan masing-masing.
oleh itu marilah kita sama-sama memperlajari taktik atau kaedah untuk mengelak dari pertengkaran, salah paham antara satu sama lain. BELAJARLAH MENGKRITIK dengan HIKMAH dengan skill masing-masing supaya tidak tersinggung dan BELAJAR DI KRITIK walaupun tidak sesuai dengan pendapat kita dengan orang lain.MUDAH-MUDAHAN BERMANFAAT DAN BERFAEDAH UNTUK KITA SEMUA.AMIIN....
sopet77
Ahli Berdaftar
Ahli Berdaftar
 
Posts: 20
Joined: Tue Nov 01, 2005 2:49 am

Postby Biduk on Sat Feb 09, 2008 4:13 am

Amiin Ya Rob.
Biduk
Ahli Setia
Ahli Setia
 
Posts: 327
Joined: Tue Mar 19, 2002 8:00 am

Re: Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Postby Arif_Fachrudin on Sun May 23, 2010 5:41 pm

apapun jangan lupa berdoa :
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW telah berkata: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ
‘Subhanakallahumma wa bihamdika asyhadu an la ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik”
(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau)
melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”.
Arif_Fachrudin
Pengendali
Pengendali
 
Posts: 1204
Joined: Thu Jan 01, 1970 8:00 am
Location: Ponorogo

Re: Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Postby Biduk on Mon Aug 02, 2010 12:20 pm

Apa khabar saudara-saudara ku?
Apa khabar lembu2 di padang ragut?

Lama betul tidak kemari.
Ruangan siasah nampaknya sunyi dan sepi.
Apakah telah pulang ke barzakh sekalian lembu2?
Biduk
Ahli Setia
Ahli Setia
 
Posts: 327
Joined: Tue Mar 19, 2002 8:00 am

Re: Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Postby ABU SIRR on Sun May 15, 2011 3:39 pm

Image

Dalami bab mazhab

KATA pepatah, “banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”. Demikianlah dalam kehidupan kita bermasyarakat. Sudah pasti akan berlaku perbezaan pendapat. Malah dalam Islam perbezaan mazhab itu membawa rahmat.

Bagaimanapun, Allah melarang kita daripada mencemuh dan membuka aib orang lain sebagai mana firmannya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka… (al-Hujurat: 11)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abu Zaki Ismail bagi mengupas isu ini.

MEGA: Dalam perbincangan wahhabi ini, ia terletak dalam mazhab mana dan bolehkah ia dikategorikan sesat?

ABU ZAKI: Perkara pertama yang perlu kita sedari adalah wujudnya banyak mazhab dalam Islam. Ia berlaku kerana perbezaan pendekatan dan cara memahami nas al-Quran serta hadis yang menyentuh pelbagai bidang; akidah, syariah, ekonomi, politik dan lain-lain.

Pada tahap asasnya, apa yang paling penting adalah manusia perlu diseru supaya tunduk kepada Allah serta berpegang kepada al-Quran dan hadis. Selain faktor kepelbagaian pendekatan, lahirnya pelbagai mazhab ini juga adalah kerana perkembangan zaman dan permasalahan manusia serta perkembangan ilmu dan teknologi.

Nas-nas al-Quran dan hadis umumnya menekankan soal ketundukan manusia kepada Allah, Tuhan Pencipta. Itulah prinsip utamanya. Namun, dalam soal cabang (furu’), perbezaan tetap berlaku.

Lalu ia melahirkan beberapa mazhab dalam fikah (yang kini hanya tinggal empat mazhab utama; Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki).

Selain itu terdapat pula aliran berlainan dalam memahami nas-nas berkaitan akidah. Saya cuba mengkelaskan wahhabi (nama yang diberi oleh penentangnya) atau disebut juga salafi (nama yang diguna oleh pendokongnya) dalam kategori ini, kerana banyak persoalan dan perselisihan timbul dalam aspek akidah. Walaupun ada juga perbezaan pandangan mereka dalam soal fikah.

Kedua-dua aliran yang kita bincangkan ini masing-masing mendakwa mereka adalah ahli sunnah, lalu menafikan lawannya.

Namun, terdapat juga ulama yang meletakkan kedua-duanya dalam kumpulan besar ahli sunnah dengan nama-nama salaf, khalaf, ahli kalam, asyai’rah, maturidiyyah dan sufi (sufiyyah, nisbah kepada tasauf).

Ini kerana persoalan akidah yang disepakati oleh kedua-dua aliran ini lebih banyak, berbanding dengan aliran syiah.

Saya kemukakan ini agar kita tidak menjuzukkan lagi umat ini kepada kelompok-kelompok yang lebih kecil dan bertentangan. Ia juga bagi mengelakkan kita bermudah-mudah dalam melabelkan sesiapa sebagai sesat.

Kita seharusnya menghayati firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat”. (al-Hasyr: 10)

Pada tahap kedua, disarankan agar umat Islam bukan sahaja menuntut ilmu tentang agama dan masa depannya (akhirat) pada tahap fardu ain tetapi hingga ke tahap lebih mendalam. Jika kita mendalami usul fiqh (asas memahami nas-nas agama), sejarah pensyariatan dan ilmu dakwah, kita akan dapat memahami sebab-sebab perbezaan berlaku. Lalu memahami kedudukan pengikut mazhab-mazhab lain.

Apatah lagi, dalam konteks hari ini, masyarakat kita makin terdedah kepada mazhab lain hasil daripada teknologi pengangkutan, perhubungan antara negara dan komunikasi.

Percampuran dengan pelbagai mazhab tidak lagi hanya berlaku ketika umat Islam berhimpun dalam ibadah haji.

Kedatangan (migrasi) saudara-saudara kita secara besar-besaran dari Bangladesh, Pakistan, negara-negara Arab serta Afrika menuntut kita bersedia memahami persamaan dan perbezaan antara kita dengan mereka.

Antara tujuannya supaya kita tidak terkejut atau dengan mudah melabelkan mereka yang berbeza dengan kita sebagai sesat.

Sabda Nabi SAW: Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (riwayat al-Bukhari). Adakah hadis ini mewajarkan kita memudahkan banyak hal dalam agama termasuk bab berniat dan pengajian akidah?

ABU ZAKI: Persoalan yang lebih besar bukan soal memudah dan memberat-beratkan hal-hal agama. Sebelum itu, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu. Jika lebih ramai umat Islam yang memahami agama dengan mendalam, maka lebih banyak masalah manusia dapat diselesaikan.

Masalah akan semakin rumit jika lebih ramai yang jahil tetapi mendalami agama dalam soal-soal terpilih.

Ada perbezaan yang besar antara memudahkan dengan mengambil mudah. Seorang yang alim akan memahami bahawa agama itu mudah dan memudahkan, tetapi dia tidak akan mengambil mudah perintah suruhan dan larangan Allah.

Ertinya, dia mesti difahami dengan ilmu. Setiap umat Islam perlu mendalami ilmu terutama pada kelas yang berpengaruh dan menjaga urusan umat.

Adakah kita patut kembali berpegang kepada pandangan ulama dalam tiga kurun terawal dahulu dan menolak ulama-ulama mutakhir sebagai jalan penyelesaian ‘krisis’ Ahli Sunnah Wal Jamaah dan wahhabi yang merugikan umat?

ABU ZAKI: Benar. Krisis ini amat merugikan dan ia juga sudah memakan masa yang terlalu banyak. Oleh kerana perbezaan itu memang timbul di kalangan ulama, kita tidak wajar memanjangkannya menjadi permusuhan di kalangan masyarakat awam.

Sedangkan soal yang lebih besar, iaitu mengajak manusia tunduk kepada agama Allah dan mempelajari asas-asas agama pun masih lemah.

Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang jahil dalam persoalan pokok dalam agama termasuk dalam kumpulan yang berpengaruh. Kita wajar meletakkan kepentingan dakwah melebihi soal khilaf seperti ini.

Saya sarankan agar hadis Rasulullah SAW ketika perang Bani Quraizah dijadikan iktibar untuk menjaga perpaduan umat.

Laksanakanlah yang wajib dahulu

Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa ketika Nabi SAW dan para sahabat pulang dari Perang Ahzab, Nabi SAW memberi arahan: Jangan sesiapa bersembahyang asar kecuali di kampung Bani Quraizah.

Sebahagian dari mereka sempat solat dalam perjalanan. Sebahagian yang lain pula bertekad untuk sembahyang asar bila sampai di sana, walaupun tidak sempat dan waktu asar telah pun tamat. Sebahagian pula berpandangan mereka solat dalam perjalanan kerana Nabi SAW tidak bermaksud begitu.

Namun, maksud baginda adalah supaya mereka bergerak cepat. Apabila perbezaan pandangan mereka diadukan kepada Rasulullah SAW, baginda tidak mencela mana-mana sahabat.

Dalam agama diharuskan perbezaan pendapat. Tetapi apakah garis panduan yang perlu dipatuhi dalam bab ini dengan merujuk pada ayat 10 surah al-Hujurat?

ABU ZAKI: Inilah keperluan fikah keutamaan iaitu kita memahami ada perkara lebih besar yang perlu didahulukan daripada perkara yang kurang utama.

Seorang alim di Mesir diajukan persoalan oleh dua kumpulan yang bergaduh tentang solat tarawih. Mana yang benar, lapan rakaat atau 20 rakaat.

Beliau bertanya kembali, apakah hukum solat tarawih? Mereka semua menjawab sunat. Beliau bertanya lagi, apa pula hukum menjaga ukhuwwah? Mereka menjawab wajib. Maka kata beliau: Laksanakanlah yang wajib dahulu.

Saya amat tertarik dengan seorang alim lain pula yang memimpin solat tarawih sebanyak lapan rakaat. Kemudian beliau berhenti dan balik ke rumah, tetapi separuh daripada jemaah di masjidnya meneruskan solat tarawih itu sehingga 20 rakaat. Masing-masing kumpulan tidak mencela yang lain.

Contoh yang lebih besar ditunjukkan oleh para sahabat Nabi SAW dalam soal rukhsah berbuka puasa Ramadan ketika musafir. Ada yang berbuka dan ada pula yang meneruskan puasa.

Oleh kerana mereka memahami bahawa ia adalah soal yang ada pilihan, mereka tidak mempertikaikan satu sama lain. Riwayat ini disebut dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Kita juga wajar melihat adab yang ditunjukkan oleh Imam al-Syafie ketika beliau mengunjungi tempat pengikut mazhab Abu Hanifah (Imam Hanafi). Ketika solat subuh beliau tidak qunut. Apabila ditanya kenapa; beliau menjawab kerana menghormati Imam Abu Hanifah.

Justeru, bagi saya, soal besarnya selain fiqh keutamaan adalah adab berbeza pendapat (adab ikhtilaf). Kita dapat berlapang dada mendengar pendapat mazhab lain, walaupun kita tidak setuju. Begitu juga, kita mampu memberi pandangan berdasarkan mazhab kita tanpa tajrih iaitu tanpa mencela atau menyakitkan hati saudara kita.

Barangkali, pokok permasalahan ini adalah kerana kita tidak didedahkan dengan amalan pelbagai mazhab. Adakah sudah tiba masanya, kita lebih terbuka terhadap perbezaan mazhab?

ABU ZAKI: Saya setuju dan ia perlu dilaksanakan dengan teratur. Maksud saya dengan mengajar masyarakat dan masyarakat mempelajari syariat Islam dari peringkat asas.

Semuanya termasuk ilmu tafsir, fiqh dan syarah hadis, usul fiqh serta sejarah pertumbuhan mazhab. Bukan terus kepada bab hukum-hakam Islam yang berbeza lalu menimbulkan kekalutan atau membawa kepada sikap memandang ringan kepada hukum-hakam.

Media massa adalah ruangan yang terbaik untuk semua ini, kerana tidak semua orang berkesempatan menjadi pelajar secara sepenuh masa. Elok benar jika pengajian secara berkitab, bersiri dan bertahap dijalankan dalam akhbar, radio dan televisyen. Wallahu a’lam.
http://pondokhabib.wordpress.com/2011/05/12/dalami-bab-mazhab-2/
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT

Re: Adab Bermuzakarah Dalam Islam

Postby ABU SIRR on Sun May 15, 2011 3:58 pm

KONSEP SYURO


Di dalam kehidupan di muka bumi ini, Allah telah meletakkan sistem-sistem tertentu agar ia menjadi asas panduan kepada makhluknya. Solat fardhu lima waktu adalah suatu sistem ibadah bagi orang beriman, amal makruf nahi munkar adalah sistem social yang memelihara kehidupan masyarakat muslim. Begitulah sistem-sistem syar’i yang lain yang sentiasa memelihara tabiat manusia.

Apa jua perkara yang terlintas difikiran manusia untuk menyusun kehidupan manusiawinya, ia telahpun diatur terlebih dahulu oleh Allah yang maha segala-galanya. Tabiat manusia ingin berpasangan, lalu syariat sejak azali telah mengatur hukum hakam munakahat. Tabiat manusia pula inginkan kebebasan dalam apa jua aspek maka Allah meletakkan asas syuro sebagai dasarnya. Bermula dengan kebebasan member pandangan akan lahirlah masyarakat yang tidak terkongkong mindanya. Kebebasan minda ini akan menjalar ke semua aspek kehidupan. Maka tiada lagi paksaan dari sistem kuku besi yang memenjara kehidupan ummah.

Syuro adalah salah satu sistem syara’ yang telah difardhukan oleh Allah dan sifatnya sangat menyeluruh. Ia boleh diguna pakai dalam apa jua lapangan samaada social, politik, ekonomi, didikan dan lain-lain lagi.

Wajib di ketahui bahawa syara’ tidak menggariskan bentuk kaedah yang tetap dalam melaksnakan dasar syuro. Bentuk perlaksanaan syuro adalah dalam perkara ijtihadiah. Ini bermakna ia memudahkan manusia mengatur cara perlaksanaan syuro mengikut kesesuaian keadaan masa dan tempat yang sentiasa berubah.

Syuro lebih jujur dan teratur dalam menjamin kebebasan hak individu samaada hak bersuara atau hak memberikan pandangan. Syuro adalah dasar yang menjamin hak individu, hak masyarakat, hak akhlak manusiawi dan akhirnya membentuk undang-undang pemerintahan yang syar’I bagi menjamin keamanan sebuah kehidupan ummah.

Apa yang lebih utama syuro bergerak dengan acuan samawi. Ia mempunyai batas-batas yang diletakkan oleh Pencipta yang Maha Adil dan ia tidak boleh diceroboh oleh makhluknya. Ia memelihara fitrah manusia yang tidak boleh sama dekali menjadi Pencipta kemudian sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja yang diingini. Apabila sesuatu perkara itu sudah memiliki Nas Qat’I, hukum yang jelas dan kaedah yang tetap maka ruang syuro dengan tujuan untuk menokok tambah tidak lagi dibenarkan.

Inilah asas kebebasan bersuara dan memberikan pendapat dalam islam. Inilah acuan demokrasi islam yang mesti mengambil tempat demokrasi ciptaan manusia yang semakin sesat dengan sistem politik kotor mereka.Setiap negarawan mukmin perlu bercita-cita bahawa masa depan demokrasi dunia adalah ditangan Demokrasi Syar’i.

Sedutan ringkas dari Bangsa Melayu Muslim..politik halal atau haram ?
http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=9259#461138
SINGKATNYA HIDUP INI.
Image
User avatar
ABU SIRR
Ahli Emeritus
Ahli Emeritus
 
Posts: 1206
Joined: Wed Mar 20, 2002 8:00 am
Location: ATAIH BUMI BAWOH LANGIT


Return to Bicara Siasah & Haraki

Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 2 guests