FQ: Taqlid Dan Talfiq Dalam Fatwa Oleh Prof M Saleh Hj Ahmad

Koleksi rujukan & artikel pilihan. Pada anda yang ingin menyumbang artikel sila hantarkan kepada Anjung Siber, Bicara Kita atau mana-mana pengendali, ataupun tuliskan di mana-mana bicara di BMC.

FQ: Taqlid Dan Talfiq Dalam Fatwa Oleh Prof M Saleh Hj Ahmad

Postby Anjung Siber on Mon Feb 09, 2004 1:39 pm

PENGGUNAAN TAQLID DAN TALFIQ DALAM FATWA: SATU PENILAIAN
Hukum Islam Semasa
Prof. Madya Md. Saleh Hj Md. @ Hj. Ahmad

PENDAHULUAN


Orang yang mukallafat yang dipertanggungjawab melaksanakan perintah-perintah Syara' terbahagi kepada beberapa peringkat, seperti berikut:

Pertama:

Orang yang mempunyai kelayakan berijtihad (mujtahid). Apa-apa yang dihasilkan oleh ijtihadnya dalam masalah-masalah yang boleh berlaku ijtihad itulah hukum yang menjadi pegangannya, kerana sesuatu yang nyata baginya itu adalah lebih hampir kepada kehendak Syara' dan lebih utama berdasarkan kepada dalil-dalil Syara' menurut kajian dan dzannya. yang kuat.

Kedua:

Orang yang tidak sampai kepada peringkat mujtahid kerana tidak mempunyai kelayakan yang membolehkan ia berijtihad, tetapi ia memahami dalil-dalil dan kedudukannya. Kefahaman itu pula membolehkan ia membuat pilihan dan tarjih dengan cara-cara yang diperakukan oleh ulama Islam.

Ketiga:

Orang yang muqallid atau menjadi pengikut semata-mata, dia memerlukan pemimpin yang memimpinnya dan orang alim yang menjadi ikutannya. Sudah semestinya ia bertaqlid mana-mana mujtahid dalam masalah-masalah tertentu. Bagi Imam al-Syatibi, seorang muqallid tidak wajar terus menerus bertaqlid kepada mereka yang telah nyata tersalah ijtihadnya dan terkeluar dari ilmu yang sebenar, tidak hams ta'assub dengan mengikutnya walaupun sudah jelas kesilapannya kerana ta'assub seperti itu menyalahi hukum Syara'.

PENGERTIAN TAQLID

Taqlid dalam bahasa Arab diambil dari kalimah al-Qiladah iaitu rantai leher.2 Jadi, taqlid ertinya memakai rantai leher di tengkok. Sementara definisi taqlid menurut istilah ularna fiqh seperti berikut:

1. mengamalkan atau menerima pakai perkataan seseorang yang mana kata-katanya itu bukannya salah satu dari dalil-dalil Syara', tanpa hujjah atau alasan (yang disertakan sebagai asas kepada hokum.
2. menerima pakai sesuatu pendapat tanpa dalil.
3. mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujjah mulzimah (dalil yang mengikatkannya).

Dari takrif-takrif di atas dapat disimpulkan bahawa taqlid ialah menerima pakai pendapat orang lain tanpa mengetahui dalil dan kekuatan dalil itu sendiri. Contohnya seperti mereka yang berpendapat boleh difasakhkan perkahwinan disebabkan 'aib atau kecacatan kerana berdasarkan pandangan mujtahid tertentu mengatakan begitu tanpa ia mengetahui dalilnya dan kekuatan dalil tersebut.6

HUKUM BERTAQLID DALAM MASALAH FURU' (FIQH)

Pada dasarnya Syariat Islam mencela dan melarang taqlid, kerana ia bermaksud mengikut sesuatu tanpa berdasarkan kepada dalil dan bukti, lebih-lebih lagi taqlid yang membawa kepada ta'assub yang tercela di kalangan golongan muqallidin (yang bertaqlid).
Ulama berselisih pendapat tentang keharusan taqlid dalam masalah furu' seperti berikut:

Penggunaan Taqlid & Talfiq Dalarn Fatwa: Satu Penilaian

1.Pendapat pertama mengatakan tidak harus sama sekali bertaqlid, bahkan mereka mewajibkan setiap mukallaf berijtihad dan mempelajari segala ilmu yang diperlukan bagi ijtihad. Ini adalah pendapat mazhab Zahiriyyah dan Mu'tazilah.

2. Pendapat kedua mengatakan taqlid diharuskan kepada semua orang, sama ada yang mampu berijtihad atau tidak. Ini merupakan pendapat golongan al-Hasyawiyyah dan al-Ta'limiyyah, bahkan sebahagian mereka mewajibkan bertaqlid selepas zaman imam-imam mujtahid.

3.Pendapat ketiga mengatakan taqlid hanyalah diharuskan kepada yang tidak mampu berijtihad sahaja. Sementara mereka yang mampu berijitihad adalah diharamkan bertaqlid. Pendapat inilah dianggap yang paling muktamad dan betul. Bahkan menurut Ibn al-Subki, ulama telah sependapat bahawa seseorang mujtahid tidak harus menyalahi hukum yang telah diputuskan oleh ijtihadnya dan haram ia bertaqlid kepada orang lain dalam perkara itu."1

Manakala masalah-masalah yang belum lagi diterokainya, tetapi telah diijtihadkan oleh orang terlebih dahulu dalam perkara ini, jadi apakah beliau boleh bertaqlid kepada mereka yang telah berijtihad atau ia mesti berijtihad juga dalam masalah tersebut dan tidak wajar ia bertaqlid? Mengikut pendapat yang menjadi pilihan oleh kebanyakan para ulama sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn al-Subki, adalah haram ke atas mujtahid itu bertaqlid pada masalah tersebut bahkan sebaliknya beliau wajib berijtihad, kerana ia mempunyai kemampuan berijtihad dan kerana ijtihad itulah yang asal. Justeru ia tidak harus berpaling dari asal yang ia mampu kepada taqlid."

ORANG BUKAN MUJTAHID WAJIB BERTAQLID?

Bagi mereka yang tidak sampai kepada martabat mujtahid, sama ada orang awam atau lebih daripada peringkat orang awam,12 menurut pandangan yang muktamad dan kalangan ulama al-usul al-muhaqqiqin adalah wajib ke atas mereka mengikut pendapat mujtahid, bertaqlid dan beramal dengan fatwanya. Pendapat ini berdasarkan kepada kenyataan dan dalil-dalil berikut:

Pertama: Dalil al-Quran (firman Allah bermaksud):

"Maka tanyakan olehmu orang-orang yang berilmu jika kamu tidak tahu" (al-Anbiya': 7)

Jelas sekali ayat tersebut memerintahkan setiap mereka yang tidak berilmu dan tidak mampu mengetahui hukum-hukum Syara' dengan cara ijtihad agar bertanya dan memohon fatwa daripada orang yang berilmu.13

Kedua: Orang awam pada zaman sahabat dan tabi'in sering atau sentiasa memohon fatwa dari mujtahidin dan mengamalkannya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum Syara'. Ulama di kalangan sahabat dan tabi'in segera memberi jawapan tanpa menyebut dalil. Justeru dianggap berlaku ijma' tentang keharusan orang awam mengikut ijtihad para mujtahid sama ada disebut dalil atau tidak.

Bahkan orang awam (bukan mujtahid) kalaulah mereka ini ditaklifkan berijitihad sendiri maka akan hilang mata pencarian mereka dan akan tergendala pekerjaan dan profesyen masing-masing disebabkan terpaksa menumpukan masa untuk berijtihad khususnya dalam masalah-masalah furu' yang muncul dari semasa ke semasa dan tidak berkesudahan, sedangkan mereka perlu mengetahui hukum-hukum furu' itu.

Lagipun ulama al-Usul telah menegaskan bahawa mujtahid dinisbah kepada orang awam adalah seperti dalil kepada orang mujtahid.14

l2 Orang awam dalam 'urf al-Fuqaha' bermaksud, setiap orang yang tidak mempunyai kemampuan mendapatkan hukum Syara' dari dalil-dalilnya dan tidak mengetahui cara-caranya. Adapun orang alim yang tidak sampai kepada martabat mujtahid sama juga hukumnya dengan orang awam wajib taqlid. Sila lihat al-Sayyid 'Alawi bin Ahmad al-Saqqaf (t.t.), Majmu'ah Sab'ah Kutub Mufidah, hal. 52, Maktabah Mustafa al-Halabi, Kaherah.

TAQLID DALAM MASALAH USUL DAN 'AQIDAH

Mengenai Taqlid dalam masalah Usul yang berkaitan dengan 'aqidah, seperti beriman kepada Allah, sifat yang wajib, mustahil dan harus bagiNya, Jumhur ulama al-Usul berpendapat tidak harus bertaqlid, bahkan wajib setiap orang mengkaji dan meneliti dalil ijmali (secara ringkas) walaupun ia seorang awam.

Al-Imam al-Syarbini berkata "Sesungguhnya orang awam itu tidak harus bertaqlid dalam masalah al-Usul, kerana mereka itu boleh mengkaji dan menyelidiki dalil ijmali. "

Al-Anbari dan pengikutnya berpendapat harus bertaqlid dalam masalah al-Usul, bahkan sebahagian mereka berpendapat taqlid itu wajib dan mengkaji itu haram. Ulama yang menghukum wajib mengkaji dan meneliti dalil-dalil berhujjah:

Pertama: Kerana untuk mengkaji dan menyelidiki dalil-dalil itu tidak akan mengganggu dan mengendalakan urusan kehidupan harian sepertimana dalam masalah-masalah furu'. Ini kerana masalah al-Usul adalah terbatas, dalilnya ijmali, mampu dikuasai oleh setiap orang dan masalahnya tidak berlaku perubahan dan pembaharuan.

Kedua: Dalam masalah al-Usul manusia diperintah supaya mendapatkan ilmu secara yakin, iaitu ilmu pengetahuan yang berasaskan hujjah dan dalil bukan taqlid yang hanya berasaskan dzan sahaja.

Ketiga: Berdasarkan hadith yang diriwayatkan ketika turun ayat dari Surah Ali 'Imran : 190, firman Allah (bermaksud):

"Sesungguhuya dalam penciptaan langit dan burnt, silih berganti malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. " Lalu baginda berkata:

Ertinya: "Binasalah atau celakalah mereka yang memamah dan mengunyah ayat tersebut (membacanya) dan tidak mahu memikirkan padanya. "l6

Keempat: Hukum taqlid adalah dicela Syara' dan tidak diharuskan. Walau bagaimanapun taqlid yang diharuskan pada masalah furu' dikecualikan dari kaedah asal tersebut.

HUKUM TAQLID MAZHAB-MAZHAB FIQH

Mazhab-mazhab fiqh ialah madrasah atau aliran fiqh yang telah masyhur dengan nama-nama pangasasnya. Mereka ini adalah tokoh-tokoh agong ulama mujtahidin yang terkenal dengan kealimannya, ketinggian ijtihadnya, wara' dan taqwanya. Ada di antara mazhab-mazhab ini yang pupus ditelan zaman dan kesan-kesannya juga terhapus dengan kematian sahabat-sahabat atau pengikut- pengikutnya, seperti mazhab al-Auza'i, Sufyan al-Thauri dan Iain-lain.

Walau bagaimanapun masih ada mazhab-mazhab yang masih kekal sehingga kini dan mempunyai pengikut-pengikut setia yang terus menerus mengamal, mempertahan dan mengembangkannya, seperti mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Setiap mazhab ini mempunyai kitab-kitab karangan ulama masing-masing yang menjelaskan pandangan fuqaha' mereka. Justeru itu, apakah boleh bertaqlid kepada mazhab-mazhab ini atau dalam ertikata lain perlukah bermazhab?

PERLUKAH BERMAZHAB?

Perlu atau tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab dalam Islam bergantung kepada keadaan seseorang. Ditegaskan terdahulu bahawa seseorang mujtahid wajib mengetahui segala hukum dari sumbernya yang asal dengan melakukan penyelidikan, kajian dan ijtihad, dan tidak harus ia bertaaqlid bhkan wajib dia beramal dengan keputusan ijtihadnya.

Berlainan dengan orang yang tidak mampu berijtihad, mereka wajib mengikut ulama mujtahidin dengan memohon fatwa dan mengemukakan soalan kepada mereka, sama ada secara lisan atau merujuk kepada pendapat-pendapat mereka yang ditulis dalam kitab-kitab muktabar yang sah sandarannya.

Justueru orang awam hendaklah mengikut salah satu mazhab yang dipilihnya dari mazhab-mazhab yang masyhur dan masih kekal hingga ke hari ini. Namun demikian, di samping bermazhab hendaklah ada dalam pemikiran kita perkara-perkara berikut:

Pertama: Mazhab-mazhab Islam ini merupakan madrasah dan aliran fiqh bagi menafsirkan nas-nas Syara' dan pengambilan hukum-hukum darinya. la merupakan metodologi fiqh dalam mengetahui dan mengeluarkan hukum-hukum, ia bukan satu Syariat baru dan sesuatu yang lain dari Islam.

Kedua: Syariat Islam iaitu nas-nas al-Quran dan al-Sunnahlebih besar dan lebih luas dari mana-mana mazhab. Bukan mazhab lebih besar dan luas dari Syariat.

Ketiga: Syariat Islam adalah menjadi hujjah ke atas setiapmazhab, bukan mazhab menjadi hujjah ke atas Syariat Islam.

Keempat: Sesungguhnya asas yang mengharuskan mengikut mazhab-mazhab ini ialah kerana diyakini ia telah berjaya memperkenalkan kepada pengikutnya hukum-hukum Syariat yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian jika ternyata bahawa mazhab tertentu tersalah dalam satu-satu masalah dan betulnya berada di satu pihak lain dengan jelas maka perlulah orang mengikut mazhab itu berpaling dari mazhabnya dalam masalah tersebut kepada mazhab lain yang betul itu.

Kelima: Bagi seseorang yang mengikut mazhab tertentudiharuskan mengikut mazhab lain dalam sesetengah masalah, kerana tidak ia wajib terikat dengan kesemua ijtihad-ijtihad mazhab yang menjadi ikutannya. Tetapi ikutan kepada mazhab lain itu hendaklah berasaskan dalil yang mendorongnya beralih dari mazhabnya kepada mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu itu. Dan juga diharuskan ia bertanya mana-mana ulama lain dari mazhabnya tentang hukum Syara' dalam apa juga masalah dan beramal dengan fatwanya.

Keenam: Seorang muqallid (pengikut) hendaklah membersihkan dirinya dari sifat ta'assub kepada mazhabnya secara melulu, kerana mazhab-mazhab fiqh bukan sebagai pemecah-belah Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakh Syariat Islam. Bahkan ia merupakan aliran-aliran dalam menafsirkan Syariat dan fahamannya, ia juga sebagai metodologi dalam penyelidikan, kajian dan kefahaman, di samping sebagai cara yang ilmiah dalam mengeluarkan hukum. Kesemuanya bertujuan untuk sampai kepada mengenali hukum-hukum yang diturun dan disyariatkan oleh Allah.

Ketujuh: Kita tidak harus merasa sempit dada dengan adanya perselisihan mazhab, kerana perbezaan kefahaman dalam mengambil hukum itu suatu perkara biasa dan tabie kepada akal manusia. Akal manusia, pengetahuan dan kefahamannya adalah berbeza-beza (tidak sama), sudah pasti berbeza tentang istinbat dan kefahaman. Bahkan kita harus berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh ini yang telah mewariskan kepada kita sebagai satu perbendaharaan yang besar, dan kita menganggap itu sebagai petanda kesuburan dan perkembangan.
Kelapan: Hendaklah kita memahami daya usaha yang dicurahkan oleh ulama-ulama mujtahidin dari berbagai mazhab itu, kita hendaklah menghormati mereka, menghormati jasa mereka, beradab kepada mereka, sentiasa berdoakan untuk kebaikan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan mendapat ganjaran pahala samada ijtihad mereka betul atau tidak. Sepertimana Allah mengajar kita dengan firmanNya (bermaksud):

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah bagi kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman. Dan janganlah Engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasad dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah betas kasihan dan rahmatMu." (al-Hasyr: 10)

PERPINDAHAN MAZHAB DAN PANDANGAN ULAMA

Menurut pendapat yang paling berautoriti dari kalangan mutaakhirin al-Syafi'iyyah seperti al-Syaikh Ibn Hajar dan Iain-lain, orang awam tidak wajib terikat dengan mazhab tertentu bahkan harus bagi mereka berpindah dari satu mazhab kepada mazhab-mazhab lain yang muktabar, yang telah tersusun dan dibukukan walaupun atas dasar keinginan, samada berpindah terus buat selama-lamanya atau pada masalah-masalah tertentu sahaja, walaupun telah difatwa atau diputuskan hukum, atau telah mengamalkan pandangan mazhab pertama yang menyalahi pandangan mazhab kedua yang bakal diikuti. Keharusan perpindahan mazhab ini disyaratkan:

Pertama: Jangan taqlid itu sampai membawa kepada talfiq.

Kedua: Tidak bertujuan mencari-cari yang rukhsah (mudah) iaitu mengambil yang mudah-mudah dari setiap mazhab, kerana amalan seperti ini dikira berdosa dan sesetengah ulama mengatakan ia boleh membawa kepada fasiq.

Ibn Daqiq al-'Iyd dan 'Izzuddin bin Abdus-Salam tidak mensyaratkan "jangan mencari-cari yang mudah dari mazhab-mazhab", mereka hanyalah mensyaratkan "jangan ada hukum yang ditaqlidkan itu boleh membawa kepada membatalkan keputusan hakim. "2I

TAQLID SELAIN DARI IMAM-IMAM MUJTAHIDIN YANG EMPAT

Tegasnya orang awam tidak wajib terikat dengan mazhab imamnya bahkan ia boleh mengamalkan pendapat mazhab lain pada satu-satu masalah atau beberapa masalah atau ia berpindah terus kepada mazhab lain. Apakah taqlid itu harus berkisar dalam empat mazhab yang masyhur sahaja atau boleh juga taqlid kepada yang lain dari empat mazhab empat tersebut, seperti mazhab tokoh-tokoh sahabat, mazhab Zahiriyyah, mazhab al-Laith, al-Auza'i, Ibn Jarir, atau Iain-lain?. Di sini ulama berselisih pendapat seperti berikut:

1. Kebanyakan ulama mutaakhirin berpendapat tidak harus bertaqlid kepada mazhab yang lain dari mazhab yang empat, kerana mazhab mereka tidak disusun dengan rapi dan pasti, dan juga boleh menyebabkan orang yang mengikuti terdedah kepada kesalahan dan berbagai takwil. Berbeza dengan mazhab yang empat kerana ia telah terkenal umum, tersusun dengan rapi dan telah dibukukan hasil usaha yang bersungguh-sungguh oleh pengikut masing-masing yang menyebarkannya di samping memperjelaskan yang kabur, mengkhususkan yang umum mengqaidkan yang mutlaq. Ini akan memastikan ketenangan jiwa berlaku apabila mengamalkannya kerana ia hampir kepada kebenaran dan jauh dari kesalahan.

Imam al-Haramain berkata, ulama mahaqiqun telah berijma bahawa orang awam tidak harus berpegang kepada mazhab-mazhab sahabat bahkan mereka mesti mengikut mazhab-mazhab imam yang telah dikaji disusun bab-babnya dan mereka telah menyatakan kedudukan masalah-masalah dan telah menjelaskan metodologi penyelidikan, di samping memperbetulkan dan mengesahkan masalah-masalah, seterusnya mereka menerang dan menghimpunkannya.

Ibn al-Salah pula berkata, bertaqlid hanya dibolehkan kepada imam-imam yang empat sahaja, kerana mazhab-mazhab yang empat telah tersebar luas, telah diketahui diqaidkan yang mutlaq, dikhususkan yang umum dan disebarkan furu', berbeza dengan mazhab-mazhab lain.

2. Sementara sebahagian ulama mengharuskan bertaqlid kepada mazhab-mazhab selain dari empat mazhab itu dalam perkara yang tidak berkaitan kefatwaan, sepertimana yang diungkapkan oleh kata-kata syair:

Ertinya: Boleh bertaqlid kepada selain dari imam-imam yang empat pada bukan kes-kes memberi fatwa. Ini merupakan sesuatu kelonggaran.

Tetapi kata Shaikh Sulaiman al-Bujairimi al-Syafie, tidak boleh taqlid kepada selain dari imam-imam yang empat dalam memberi fatwa dan juga penghakman.

3. Menurut Izzuddin bin Abd. al-Salam, yang penting apakah mazhab berkenaan sabit dan diyakini sah pada pandangan muqallid? Kalau sudah nyata mazhab tersebut, sah bertaqlid walaupun mazhab itu bukan dari mazhab-mazhab yang empat.

Pandangan Izzuddin ini dikira pendapat yang lebih kuat atau sah seperti yang ditarjih oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, kerana tidak ada satu pun dalil yang mewajibkan manusia mesti iltizam dengan mazhab yang empat sahaja, kerana semua para mujtahidin adalah sama sahaja boleh diikuti apabila ternyata sah sandarannya.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN TALFIQ?

Mereka yang telah iltizam dengan satu-satu mazhab tertentu boleh bertaqlid kepada mazhab lain seperti penjelasan di atas dengan syarat tidak berlaku talfiq atau tarkib. Yang dimaksudkan dengan talfiq,

"ialah menghimpun dan mencampur- adukkan dua pendapat atau mazhab dalam satu-satu masalah sehingga melahirkan satu bentuk hukum atau konsep tertentu hasil dari percantuman dua mazhab itu, sedangkan setiap mazhab itu tidak berpendapat sedemikian dalam masalah itu, bahkan masing-masing tidak mengiktiraf amalan sedemikian".

Contohnya seperti seseorang yang mengambil wudhu' menyapu sebahagian kepala sahaja sebagai bertaqlid kepada Imam Syafie, kemudian menyentuh anjing dan menganggapnya suci sebagai bertaqlid kepada Imam Malik, jadi taqlid tersebut tidak sah kerana berlaku percampuran (talfiq) taqlid antara dua pendapat yang melahirkan satu hakikat iaitu solat di mana kedua-dua Imam besar itu tidak mengiktiraf solat tersebut.

SYARAT TAQLID MAZHAB LAIN

Sungguhpun orang awam yang telah beriltizam dengan mazhab tertentu boleh bertaqlid kepada mazhab lain dalam satu-satu masalah tetapi ia mestilah melakukannya selaras dengan kehendak-kehendak mazhab imam yang ia taqlid dan mestilah mematuhi segala perkara yang berkaitan dengannya iaitu mesti memenuhi syarat-syarat sah, dan mengelak dari perkara yang membatalkan.

Contohnya seorang yang solat dengan tidak mengadap 'ain Ka'abah tetapi ke Ka'abah sahaja kerana mengikut mazhab Abu Hanifah yang berpendapat memadai solat mengadap ke arah Ka'abah sahaja dan tidak semestinya mengadap 'ain Ka'abah, jadi ketika mengambil wudhu' hendaklah ia menyapu kepala tidak kurang 1/4 dari kepala (kadar wajib dalam mazhab Hanafi) dan disyaratkan jangan ada luka yang mengalirkan darah dari badannya selepas berwudhu' (kerana ia membatalkan wudhu' menurut mazhab Hanafi), perlu dipelihara syarat-syarat sah solat dan jauhkan perkara-perkara yang membatalkan wudhu' dalam mazhab Hanafi.

Jika ia tidak menyapu kepala kadar 1/4, atau mengalir darah selepas wudhu' maka solat itu batal dengan ittifaq mazhab Hanafi dan Syafie.

Demikianlah fatwa Ibn Hajar al-Haithami sepertimana dipetik oleh pengarang Path al-Mu'in dan juga I'anah al-Talibin.

Pendapat Ibn Hajar ini disokong oleh ramai tokoh ulama Syafie. Abdullah Abu Makrumah al-'Adani sebagai contoh menegaskan

"Syarat ini telah disebut oleh ramai ulama al-Usul Wa al-Fiqh, termasuklah Imam Ibn Daqlq al- 'lyd, Imam al-Subki, Imam al-Isnawi, Zainuddin al- 'Iraqi, Imam al-Rafie dan al-Qadhi Husain".

Sementara Ibn Ziyad al-Syafie dalam kitab Fatwanya sependapat dengan Imam Ibn Hajar tentang tarkib.atau talfiq yang menjejaskan taqlid itu ialah talfiq dalam satu-satu masalah sahaja, tetapi beliau berbeza pendapat dengan Ibn Hajar tentang talfiq dalam dua masalah yang berasingan seperti Taharah dan Solat.

Ibn Ziyad berpendapat tidak menjejaskan taqlid, bahkan beliau berkata

"apa yang kami faham daripada contoh-contoh para fuqaha' ialah talfiq yang mencacatkan taqlid atau talfiq yang dilarang itu hanyalah apabila ia berlaku dalam satu-satu masalah sahaja kerana di antara contoh-contoh mereka, apabila seseorang itu berwudhu' dan menyentuh perempuan ajnabiyyah taqlid kepada Imam Abu Hanifah dan mengeluarkan darah taqlid kepada mazhab Syafie kemudian solat dengan wudbu' tadi, maka solatnya tidak sah kerana kedua-dua imam itu sependapat batal wudhu' itu. Demikianjuga apabila seorang itu berwudhu' dan menyentuh wanita tanpa bersyahwat sebagai mengikut mazhab Malik tetapi ia tidak mengikut Imam Malik tentang menggosok anggota wudhu 'nya kerana mengikut mazhab Syafie, kemudian ia solat dengan wudhu' itu nescaya batal juga solat itu, kerana kedua-dua imam itu sependapat wudhu' itu batal".

Namun begitu, jika tarkib atau talfiq itu dari dua masalah yang berlainan tidaklah menjejaskan taqlid bentuk ini.

Contohnya seperti seorang yang berwudhu' dan menyapu sebahagian kepala sahaja tidak sampai kadar 1/4, kemudian ia solat mengadap qiblat (bukan 'ain al-Qiblat) kerana taqlid kepada Imam Abu Hanifah maka solat itu dikira sah, kerana kedua-dua imam tidak sependapat di atas batal wudhu', kerana khilaf antara dua imam itu berterusan keadaannya tentang taharah.

Ibn Hajar dan beberapa tokoh ulama lain yang sependapat dengannya telah mengambil jalan lebih selamat (ihthiyati) sementara pendapat Ibn Ziyad lebih secocok dengan orang awam, jadi mereka boleh bertaqlid dalam bentuk talfiq seperti ini.

PANDANGAN DR. WAHBAH AL-ZUHAILI TENTANG TALFIQ*

Beliau mempunyai pandangan yang hampir sama dengan Imam Ibn Ziyad yang membolehkan talfiq dalam dua masalah yang berasingan. Beliau menyimpulkan dengan kata- katanya

"Sesungguhnya agama Allah itu mudah dan tidak menyulitkan, maka pendapat yang mengharuskan talfiq adalah di antara bab mempermudahkan kepada manusia mengamalkan Islam".

Allah berfirman (ertinya):

"Dan la (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (al-Hajj: 78)

FirmanNya lagi (ertinya):

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu" (an-Nisa': 28)

Firman Allah seterusnya (ertinya):

Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan la tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (al-Baqarah: 185)

Hadith Nabi s.a.w.

Ertinya: "Aku diutuskan dengan membawa agama yang sah lagi mudah."

Namun demikian, al-Zuhaili mengatakan pendapat yang mengharuskan talfiq itu bukanlah mutlaq atau terbuka tanpa sebarang keterikatan, kerana ada talfiq yang batal iaitu talfiq yang boleh membawa kepada menghalalkan yang haram, seperti khamar, zina dan sebagainya. Dan ada talfiq yang dilarang kerana faktor-faktor yang mendatang. Ini ada tiga bahagian seperti berikut:29

Pertama: Sengaja mencari-cari yang mudah-mudah iaitu dengan mengambil dari setiap mazhab mana yang lebih mudah tanpa dharurat dan uzur. Ini dilarang kerana boleh membawa kepada terungkai ikatan dan taklif Syar'i. Lebih-lebih lagi mencari yang mudah dengan tujuan bersuka-suka, dan demikian juga mengambil pendapat-pendapat yang dhaif bagi setiap mazhab semata-mata menurut hawa nafsu.

Kedua: Talfiq yang membawa kepada pembatalan hukum atau keputusan hakim adalah dilarang kerana keputusan hakim berfungsi menghapus kekhilafan atau mengenepikan perselisihan bagi tujuan menolak kecelaruan.

Ketiga: Talfiq yang membawa kepada penarikan balik (rujuk) dari amalan yang telah ditaqlid atau dari sesuatu yang diijma' yang mengikat perkara yang ditaqlidkan. Contohnya seperti seseorang yang bertaqlid kepada mazhab Hanafi tentang nikah tanpa wali, maka akad nikah itu melazimkan sah talaq, kerana sah talaq itu suatu perkara yang lazim bagi sah nikah, ertinya apabila sah nikahnya maka sahlah talaqnya berdasarkan kepada Ijma'. Kalaulah ia menceraikan isterinya dengan tiga talaq, kemudian ia hendak bertaqlid kepada mazhab Syafie tentang tidak jatuh talaq kerana nikah tanpa wali, maka talfiq seperti ini tidak harus kerana ia merupakan sebagai rujukan dari taqlid dalam perkara yang lazim dengan Ijma'. Pendapat yang tidak mengharuskan ini bukan kerana talfiq sahaja bahkan disebabkan oleh penarikan balik dari apa yang telah ditaqlidkan selepas beramal dengannya di samping kekal kesannya.

Seterusnya al-Zuhaili mengatakan pendapat ini perlu ditegaskan sebagai berhati-hati dalam kes-kes nasab hendaklah lebih banyak dari kes-kes lain, kalau tidak nescaya akan terjadilah perhubungan yang dahulu itu dikira haram dan kelahiran anak-anak itu dikira zina. Maka wajarlah ditutup segala pintu yang boleh membawa kepada muslihat dalam hal semacam ini dalam perkara yang besar seperti nikah atau dalam setiap perkara yang membawa kepada mempersendakan hukum agama atau memudharatkan manusia atau kerosakan di muka bumi.

Namun dalam hal ibadat dan taklif-taklif yang Allah tidak menyulit dan menyukarkan hambaNya, amalan talfiq tidak dilarang, walaupun dikehendaki merujuk kepada apa yang telah diamalkan atau dari perkara yang lazim bagi yang lain, selama mana tidak membawa kepada terungkai dari ikatan taklif Syara', atau kepada menghilangkan hikmat Syara' dengan melakukan berbagai helah yang menyalahi Syariat atau mensia-siakan maqasid Syariah (objektif hukum Islam).

TATABBU' AL-RUKHAS

Tatabbu' al-Rukhas bermaksud menerima pakai masalah yang lebih mudah dari setiap mazhab. Sebelum ini telah dibicarakan tentang talfiq yang dilarang iaitu tidak boleh sengaja mencari-cari yang mudah dari setiap mazhab, kerana amalan seperti ini boleh membawa kepada fasiq atau berdosa menurut sebahagian ulama. Oleh kerana persoalan Tatabbu' al-Rukhas berkait rapat dengan masalah taqlid, jadi ia perlu diperjelaskan pandangan ulama dalam masalah ini.

Para fuqaha' dan ulama usul telah berselisih pendapat tentang masalah ini kepada tiga mazhab seperti berikut:

Pertama: Tidak mengharuskan Tatabbu' al-Rukhas

Al-Jalal al-Mahally al-Syafie dan al-Syatibi al-Maliki memetik Ibn Hazm sebagai berkata

"Sesunggahnya Ulama telah berijma' melarang Tatabbu' al-Rukhas, dan hukum mengamalnya fasiq (tidak halal)". Ibn Amir al-Hajj al-Hanafi memetik Ibn Abdillah sebagai berkata "Tidak harus bagi orang awam Tatabbu' al-Rukhas. " Sementara al-Syatibi pula berkata "Tatabbu' al-Rukhas dan memilih pendapat-pendapat dengan bersuka-suka itu tidak lain kecuali menunjukkan kecenderungan mengikut hawa nafsu sahaja, sedangkan Syara' melarang mengikut hawa nafsu."

Al-Imam al-Ghazali juga berpendapat tidak harus Tatabbu' al-Rukhas.™ Sementara al- Imam al-Subki mengatakan yang paling sahihnya (al-Asah) adalah dilarang Tatabbu' al-Rukhas dalam mazhab-mazhab. Ini menandakan dalam mazhab Syafie ada satu pendapat lain yang mengatakan boleh Tatabbu' al-Rukhas, tetapi pendapat yang paling berautoriti ialah tidak harus Tatabbu' al-Rukhas.

Kedua: Harus Dengan Bersyarat

Al-Jalal al-Mahally berkata, 'Izzudin bin Abd al-Salam dari kalangan ulama mazhab Syafie telah menegaskan dalam Fatwanya

"Sesungguhnya manusia semenjak zaman sahabat lagi hingga munculnya mazhab-mazhab sering bertanya tentang masalah-masalah yang menyentuh kehidupan mereka kepada ulama-ulama yang berbeza-beza pandangan tanpa sebarang bantahan, sama ada mengikut yang mudah-mudah (al-Rukhsah) atau hukum-hukum asal (al-'Azimah), kerana bagi mereka yang menganggapkan mujtahid yang betul itu seorang sahaja tidak akan menentukan siapakah orangnya, sebaliknya bagi mereka yang menganggap mujtahid yang betul itu lebih dari seorang, maka tidak ada halangan baginya untuk mengambil pandangan-pandangan ini."

Namun demikian 'Izzuddin tetap melarang Tatabbu' al-Rukhas yang bertindih atau bercampur aduk dalam satu perbuatan, yang membawa kepada talfiq dalam juzu'-juzu' hukum yang satu. Oleh yang demikian beliau menganggap pendapat yang melarang Tatabbu' al-Rukhas itu adalah dalam bentuk talfiq ini. Kemudian al-'Attar berkata

"Kesimpulannya, keharusan Talfiq dan Tatabbu' al-Rukhas bukan mutlak bahkan perlu diberi perhatian agar tidak berlaku Tatabbu' al-Rukhas dalam satu-satu hukum yang bertindih dari dua ijtihad".

Mereka ini berpendapat keharusan Tatabbu' al-Rukhas adalah dengan syarat jangan sampai kepada suatu bentuk yang tidak diharuskan oleh seorang pun dari dua atau beberapa mazhab yang ditalfiqkan hukum dari mazhab tersebut, seperti mengambil wudhu' dari berbagai-bagai mazhab sedangkan tiada seorang imam pun yang memperakui wudhu' yang dicampur aduk itu.

Ketiga: Harus Tanpa Syarat

Al-Kamal bin al-Humam berkata tidak ada larangan dari mazhab Syarie bagi mengikut yang mudah-mudah dari beberapa mazhab, kerana harus bagi seseorang mengikuti yang paling ringan baginya apabila ada jalan, bahkan Rasulullah s.a.w. menyukai sesuatu yang ringan kepada umataya dan beliau bersabda

"Yang paling dikasihi agama kepada Allah ialah yang betul lagi mudah dan sesungguhnya aku diutuskan membawa Syariat yang betul lagi mudah"'.

Lagi pun Syariat Islam datang bukan bertujuan menyulitkan hamba-hambanya bahkan untuk memberi kebaikan dan kebahagiaan sejagat....."

Mereka yang melarang amalan Tatabbu' al-Rukhas bertujuan mencegah orang awam mengambil dari setiap mazhab hukum-hukum yang lebih mudah dan ringan.

Ibn Amir al-Hajj mengatakan "Apakah faktor yang melarang amalan ini -saya tidak mengetahui Syara' mencelanya - sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri suka agar umatnya diberi keringanannya ".

Seterusnya beliau menolak pendapat mereka yang melarang Tatabbu' al-Rukhas dan yang mendakwa berlaku ijma' tentang larangan itu dengan alasan bahawa dakwaan ijma' itu tidak sah, kerana anggapan fasiq mereka yang mengamalkan Tatabbu' al-Rukhas ada dua riwayat daripada Imam Ahmad. Oleh yang demikian tidak berlaku ijma' pada masalah ini.

MUFTI YANG TIDAK BEBAS DARI MAZHAB

Menurut Ibn al-Salah, Mufti yang muntasib atau yang dikira bermazhab dengan mana-mana imam mujtahidin ada empat; ringkasnya adalah seperti berikut:

Pertama: Seorang mufti yang tidak bertaqlid kepada imam tertentu samada pada mazhab atau dalilnya, kerana beliau telah menguasai sifat-sifat dan ilmu-ilmu yang diperlukan pada seorang mujtahid mustaqill (mutlaq). Tetapi beliau dikatakan bermazhab dengan imam-imam tertentu kerana beliau telah mengambil pakai metodologinya dalam berijtihad dan turut menyebarkannya.

Kedua: Seorang mufti yang mampu melakukan ijtihad dalam lingkungan mazhab imamnya, jadi ia bebas menghuraikan mazhabnya berdasarkan kepada dalil prinsip dan kaedah-kaedah imamnya. Sudah pasti beliau seorang yang alim fiqh, pakar dalam Usul al-Flqh, boleh memahami jalan-jalan qiyas dan illat-illat hukum, cukup terlatih dalam takhrij dan istinbat, mampu menghubungkan masalah yang tidak dinaskan dalam mazhab imamnya dengan dasar dan kaedah-kaedah mazhabnya. Tetapi beliau masih tidak boleh bebas dari bertaqlid kepada imamnya kerana kekurangan beberapa ilmu dan alat-alat yang diperlukan pada seorang mujtahid mustaqill. Mereka yang seperti inilah yang dikatakan Ashab al-Wujuh wa al-Turuq Fi al-Mazhab.

Ketiga: Seorang mufti yang tidak sampai kepada martabat imam-imam mazhab Ashab al-Wujuh wa al-Turuq, akan tetapi beliau seorang yangfaqih al-nafs, 'alim tentang mazhab imamnya, mengetahui segala dalil-dalilnya serta mampu memperjelaskannya, dan tolong menyebarkannya, .... seterusnya beliau mampu mentarjihkan dalil. Tetapi ia tidak sampai kepada martabat mereka yang di atas, boleh jadi kerana beliau tidak mencapai taraf mereka itu dari segi penguasaan mazhab, atau kerana tidak biasa terlatih dalam takhrij dan istinbat seperti mereka itu, atau oleh kerana tidak puny a kepakaran dalam bidang ilmu Usul al-Fiqh, atau kerana tidak menguasai ilmu-ilmu yang dikira sebagai alat-alat ijtihad seperti Ashab al-Wujuh wa al-Tumq. Inilah sifat kebanyakan ulama mutaakhirin hingga ke akhir kurun keempat hijrah.

Keempat: Seorang mufti itu hanya dapat mengingat pendapat mazhab, boleh memetik dan memahami masalah-masalah yang jelas dan yang rumit-rumit, tetapi beliau tidak mampu menghurai dalil-dalil dan qiyas-qiyasnya. Beliau hanyalah berpegang kepada fatwa-fatwa yang dipetik dari kitab-kitab mazhab imamnya sama ada yang dinaskan oleh imamnya atau yang dilanjutkan dan ditakhrijkan oleh sahabat-sahabatnya, yang terdiri dari kalangan mujtahidin dalam mazhabnya.

Ibn al-Salah telah membincang dengan panjang lebar setiap peringkat mufti itu, tetapi memadailah sekadar menyatakan bahawa amalan bertaqlid kepada mazhab mujtahidin bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah pembinaan hukum Islam.

PENUTUP

Dari fakta yang dibentangkan, dapatlah disimpulkan bahawa seorang yang mencapai taraf mujtahid adalah diharamkan bertaqlid kepada mana-mana pendapat atau mazhab.

Sementara bagi orang awam atau bukan mujtahid adalah haram berijtihad bahkan wajib bertaqlid, kerana mereka tidak memiliki ilmu dan alat yang membolehkan mereka berijtihad. Berijtihad tanpa ilmu sesat lagi menyesatkan.

Orang alim yang tidak sampai kepada martabat mujtahid seperti kebanyakan ulama sekarang juga perlu bertaqlid, tetapi mereka perlu pertingkatkan martabat dengan berusaha mengetahui dalil, hujjah dan sumber yang menjadi sandaran hukum dalam mazhab masing-masing supaya fatwa yang dikeluarkan tidaklah dalam bentuk hukum sahaja tanpa disertakan dalil atau tempat rujukan.


Berhubung dengan menerima pakai pandangan mazhab lain dari mazhab pegangannya adalah diharuskan dengan syarat jangan sampai kepada talfiq yang tidak diiktiraf oleh mana-mana mazhab.

Demikian juga halnya dengan tatabbu' al-Rukhas diharuskan menurut sebahagian pendapat ulama dengan syarat tidak membawa kepada terungkai ikatan taklif syarie atau tidak sampai kepada talfiq yang dilarang.

Wallahu a'lam bissawab
Anjung Siber
Ahli Kanan
Ahli Kanan
 
Posts: 151
Joined: Sun Feb 08, 2004 2:51 am

Return to Rujukan & Artikel Pilihan

Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 1 guest