SAH: Hukum Zakat Pendapatan

Koleksi rujukan & artikel pilihan. Pada anda yang ingin menyumbang artikel sila hantarkan kepada Anjung Siber, Bicara Kita atau mana-mana pengendali, ataupun tuliskan di mana-mana bicara di BMC.

SAH: Hukum Zakat Pendapatan

Postby Anjung Siber on Tue Feb 10, 2004 4:32 am

Hukum Zakat Gaji Bulanan

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)

SOALAN:
Saya seorang pegawai kerajaan yang membayar zakat gaji secara bulanan kepada pihak-pihak yang berhak menerimanya. Saya tunaikannya sebaik sahaja gaji diterima. Saya tidak mempunyai masalah pada zakat itu, kerana kadar 2.5 peratus tidak membebankan sara hidup saya dan keluarga. Kalaupun tidak dikeluarkan zakat, gaji saya dipotong juga atas nama cukai pendapatan. Saya difahamkan, ulama tidak sepakat menyatakan sama ada gaji wajib dizakatkan atau sebaliknya.

Soalan saya, apa pendapat ulama dalam mazhab Shafie mengenai zakat gaji? Apa kesannya terhadap zakat dan ibadat saya jika saya tidak mengambil berat tentang mazhab yang saya ikuti? Bagaimanapun, saya tidak berminat menukar mazhab Shafie yang saya ikuti ini kepada lain-lain mazhab. - ABDULLAH, Kota Bharu, Kelantan.

JAWAPAN:

Saya tidak ingin membuat sebarang ulasan atas sikap saudara yang tidak berminat dengan mazhab-mazhab selain Shafie kerana mazhab ini juga termasuk antara mazhab yang diterima pakai oleh sebahagian besar umat Islam di rantau ini, bahkan di seluruh dunia. Ulama Islam mempercayai Imam Shafie tidak memfatwakan sesuatu masalah, kecuali beliau mempunyai hujah sama ada daripada al-Quran, al-sunah, sebagaimana yang diputuskan dalam usul bagi mazhabnya.

Mazhab-mazhab lain juga boleh dipakai khususnya Hanafi, Maliki dan Hanbali, kerana mereka semua sepakat menjadikan al-Quran dan hadis sebagai teras bagi mazhab masing-masing. Kalaupun ada perbezaan pendapat, maka perbezaan itu hanya pada furu' (cabang-cabang) masalah. Kata sesetengah ulama, perbezaan pendapat antara imam-imam mazhab itu, bukannya perbezaan antara benar dan salah, tetapi antara benar dan yang lebih benar, antara afdal dan yang lebih afdal.

Gaji yang dimaksudkan di sini ialah bayaran yang diterima seseorang sebagai upah kerja atau perkhidmatan yang dilakukan mengikut masa tertentu, termasuk juga dalam istilah gaji, wang elaun, imbuhan atau bonus hasil sewa bangunan atau keuntungan pelaburan daripada apa-apa pekerjaan, perkhidmatan dan perolehan lain. Ulama Islam tidak sepakat dalam menentukan sama ada pendapatan gaji diwajibkan zakat atau tidak.

Perselisihan pendapat berpunca daripada wujudnya keterangan al-Quran dan hadis yang dengan jelas menyebutkan harta yang diwajibkan zakat ialah emas, harta perniagaan, nilai tanaman dan ternakan. Zakat pertanian diperintah supaya dikeluarkan pada hari ia dituai atau dipetik (lihat surah al-An'am: ayat 141). Zakat emas dan perak pula dinyatakan, sesiapa yang menyimpannya, tanpa dikeluarkan zakatnya, nanti akan dibakar dahi dan rusuknya dengan api neraka (surah al-Taubah: ayat 34 dan 35).

Zakat ternakan pula dinyatakan dalam hadis. Secara umumnya meliputi ternakan lembu, kambing dan kerbau. Zakat dikira mengikut bilangan binatang yang dipelihara setelah cukup nisabnya. Keterangan boleh diikuti dalam kitab-kitab fiqh dan hadis (sebagai contoh, lihat Nail al-Awtar, 4/132).

Gaji atau upah kerja tidak disebut dengan jelas, sama ada di dalam al-Quran atau hadis sebagai pendapatan yang dikenakan zakat. Bagaimanapun, Dr. Yusuf al-Qaradawi memasukkan wang gaji dalam kategori al-mal al-mustafad (harta perolehan/pendapatan) yang dikeluarkan juga zakatnya pada zaman pemerintahan Muawiyah dan Umar ibn Abdul Aziz.

Justeru tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis memperkatakan hukum zakat gaji atau upah kerja, imam-imam Shafie, Malik dan Ahmad mengambil kesimpulan tidak wajib zakat pada gaji.

Zakat hanya diwajibkan pada harta-harta hasil pertanian, perniagaan, penternakan dan nilai-nilai emas perak dan wang iaitu sebaik sahaja cukup syarat nisab (sukatan nilai) dan haul (tempoh masanya). Imam Abu Hanifah berpendapat, ayat 267 surah al-Baqarah menunjukkan pendapatan melalui gaji dan lain-lain juga diwajibkan zakat. Ayat itu membawa terjemahan berikut:

Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya untuk diderma atau dijadikan zakat.

Kebanyakan ulama termasuk Shafie dan lain-lain, menafsirkan ayat ini dengan infaq (perbelanjaan) am dan sedekah sunat. Suruhan atau perintah di dalam ayat 267 al-Baqarah itu hanya membawa erti sedekah atau merangsang golongan berada supaya turut membantu golongan miskin atas dasar ihsan dan belas kasihan. Dr. Mustafa al-zarqa cenderung kepada pendapat ini kerana gaji, menurutnya, kalaupun besar kadarnya ia adalah bayaran yang mencukupi sesuai dengan taraf dan gaya hidup seseorang pekerja.

Tambahan pula, zakat adalah salah satu daripada lima rukun Islam. Keislaman seseorang akan terjejas dengan terabainya zakat pada harta yang tidak ditunaikan zakat. Oleh itu, wajar sekali al-Quran atau hadis membutirkan dengan jelas semua harta yang wajib zakat termasuklah gaji dan upah kerja. Dalam keadaan harta itu tidak dinyatakan dengan jelas, maka secara mudahnya difahami sebagai tidak wajib, sedangkan pada zaman nabi juga ada pekerja-pekerja yang mengambil upah atau makan gaji menurut istilah sekarang.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat, ayat 267 al-Baqarah itu berkenaan zakat wajib. Oleh itu beliau berpendapat, semua harta yang diusahakan melalui jalan-jalan yang halal dan hasil yang dikeluarkan dari bumi hendaklah dizakatkan.

Ini bermakna gaji, upah kerja, hadiah, bonus dan apa juga hasil yang dikeluarkan dari bumi termasuk ubi kayu, sayur-sayuran dan buah-buahan hendaklah dizakatkan semuanya.


Kebanyakan ulama mutakhir, termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi cenderung kepada pendapat ini. Majlis Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa perunding hukum syarak negeri-negeri di Malaysia juga setuju dengan pendapat ini memandangkan banyaknya faedah dan muslihat kepada umat Islam terutama golongan miskin dan kurang upaya.

Saya berpendapat, mazhab imam Abu Hanifah lebih sesuai diamalkan pada zaman ini kerana dengan adanya zakat gaji yang diberi kepada fakir miskin, hubungan kasih sayang dan perpaduan menjadi erat.

Dari aspek yang lain pula, jika zakat gaji itu ditadbir dengan baik oleh satu badan seperti Pejabat Pungutan Zakat (PPZ), tentu ia akan mengukuhkan lagi institusi kewangan bagi membantu masyarakat Islam. Pengalaman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan membuktikan kebaikan zakat ini dikuatkuasakan melalui sistem dan peraturan.

Setelah keputusan diambil bahawa gaji juga wajib dizakatkan, persoalan selanjutnya berbangkit, bagaimana dengan syarat nisab dan haulnya? Paling dekat dengannya ialah nisab dan haul pada zakat harta simpanan, nilai nisabnya ialah 85 gram (lebih kurang RM3,000 mengikut kadar turun naik nilai harga emas). Tempoh haulnya ialah 354 hari, menurut kiraan tahun hijrah. Kadar zakat yang dikenakan ialah 2.5 peratus daripada keseluruhan harta simpanan, setelah ditolak perbelanjaan asasi untuk diri sendiri, isteri, anak-anak dan ibu bapa bagi tempoh setahun.

Sesetengah pendapat pula menyatakan, gaji diwajibkan zakat sebaik sahaja diterima, sekalipun belum cukup haulnya. Pendapat ini dihubungkan kepada beberapa mazhab seperti Muawiyah, Ibn Hazm, Umar ibn Abdul Aziz dan lain-lain. Ini bermakna apabila seseorang menzakatkan hartanya sebaik sahaja gajinya diterima, maka tidak dikenakan zakat lagi pada akhir tahun (setelah genap haul). Amalan ini dikira lebih adil, terutama jika dibandingkan dengan petani yang mengeluarkan zakat padinya sebaik sahaja dituai.

Justeru di Malaysia ini kuasa-kuasa agama berada di negeri, maka difahamkan juga masih ada beberapa negeri yang belum memfatwakan zakat gaji sebagai wajib. Ini pun menarik juga kerana kebebasan memilih pendapat dan mengamalkan mana-mana yang difikir lebih menguntungkan pengetahuan agama, masyarakat dan negara, maka perbezaan pendapat harus dimanfaatkan semaksimum yang mungkin.

Sebagai kesimpulan kepada zakat gaji, tuan-tuan punya gaji boleh dikategorikan kepada tiga bahagian:

1. Tuan-tuan punya gaji yang tidak atau hanya mencukupi keperluan asasi diri dan keluarganya sahaja. Gaji ini tidak wajib dizakatkan menurut ijma ulama, kecuali jika gaji disimpan hingga mencukupi kadar nilai 85 gram emas yang bersamaan RM3,000 dan genap haulnya 354 hari. Pada ketika itu wang gaji yang disimpan wajib dizakatkan sebanyak 1/40 atau 2.5 peratus.

2. Tuan-tuan punya gaji yang melebihi keperluan asasi iaitu makan, minum, pakai, kenderaan dan perubatan. Gaji yang lebih itu disimpan hingga cukup nisab dan haul, maka wajib ke atasnya zakat.

Mereka menyimpan gaji yang lebih daripada keperluan itu. Wang simpanan ini diwajibkan zakat pada kadar 2.5 peratus.

3. Tuan-tuan punya gaji yang lebih daripada keperluan asasi tetapi habis dibelanjakan untuk bermewah tanpa tujuan sebenar. Harta yang lebih daripada keperluan asasi ini wajib dizakatkan. Sebagai contoh, seorang itu mempunyai pendapatan gaji sebanyak RM10,000 sebulan, sedangkan keperluan asasinya hanya RM5,000. Dalam setahun akan terkumpul kira-kira RM60,000. Wang ini wajib dizakatkan, sekalipun tiada lagi dalam simpanannya. Kadar zakatnya ialah RM1,500 atau RM125 sebulan.

Untuk makluman saudara, saya difahamkan pihak pentadbiran PPZ Wilayah Persekutuan telah menyelaraskan kutipan cukai pendapatan dengan zakat gaji bagi pihak orang Islam yang mempunyai gaji yang cukup nisab. Mereka secara automatik telah mengambil sebanyak 2.5 peratus atas nama zakat, manakala selebihnya dikekalkan atas nama cukai pendapatan.

Jika maklumat ini benar, maka saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak pentadbiran zakat atas daya usahanya untuk membersihkan gaji yang diterima umat Islam, sekalipun hukum zakat gaji masih dipertikaikan. Saya berpendapat, pihak pembayar cukai perlu mewakilkan kepada PPZ sebagai wakil penerima zakat untuk dimasukkan ke dalam tabung zakat yang nanti akan diagih-agih kepada pihak-pihak yang berhak mendapat bantuannya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content ... =ba_03.htm
Anjung Siber
Ahli Kanan
Ahli Kanan
 
Posts: 151
Joined: Sun Feb 08, 2004 2:51 am

Return to Rujukan & Artikel Pilihan

Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 2 guests

cron