TF: Menangis Kerana Takut Pada Allah Oleh Imam Ghazali

Koleksi rujukan & artikel pilihan. Pada anda yang ingin menyumbang artikel sila hantarkan kepada Anjung Siber, Bicara Kita atau mana-mana pengendali, ataupun tuliskan di mana-mana bicara di BMC.

TF: Menangis Kerana Takut Pada Allah Oleh Imam Ghazali

Postby Anjung Siber on Mon Feb 16, 2004 4:30 pm

Menangis Kerana Takut Kepada Allah SWT
Penenang Jiwa
Imam Al Ghazali


Telah berkata Abul Laits ra:

"Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat-malaikat di langit tujuh bersujud sejak Allah menciptakan mereka sampai hari Kiamat. Mereka takut menderhakai Allah. Ketika hari Kiamat mereka mengangkat kepala seraya berkata: "Maha Suci Engkau. Kami telah menyembah Engkau dengan sesungguhnya."

Demikian inilah yang tersebut dalam firman Allah:

"Mereka itu (malaikat) takut kepada Tuhan di atas mereka dan mereka memperbuat apa-apa yang disuruh." (Q.S. An Nahl: 50)

Rasulullah saw bersabda:

"Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan jatuh dari pohonnya."

Diceritakan:

Ada lelaki jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk suatu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sesampai di kampung yang sunyi ketika orang-orang telah tidur. Lelaki itu menyampaikan maksud hatinya. Si wanita itu pun menyahut "Lihat lah apakah orang-orang telah tidur semuanya?" Dengan demikian lelaki itu mengira bahawa maksud hatinya hendak dikabulkan. Dia mengelilingi kawasan itu dan melihat-lihat sejenak. Setelah jelas orang-orang telah tertidur, segera dia menghampiri wanita seraya berkata: "Benar semua orang telah tidur." Lalu wanita itu bertanya: "Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah?" Apakah saat ini Dia juga tidur?"

Lelaki tersebut menjawab: "Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur." Wanita itu lalu berkata lagi: "Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak kita takuti." Dengan segera lelaki itu meninggalkan perempuan tersebut kerana dia takut kepada Allah. Dia pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia ada seorang bermimpi bertemu dengannya. Lalu ditanya: "Apakah yang dilakukan oleh Allah kepadamu?" Lelaki itu menjawab: "Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan meninggalkan dosa itu."

Hikayat: Di dalam golongan Bani Israel ada seorang lelaki abid yang menanggung keluarga yang ramai. Dia ditimpa kecelakaan yang menyulitkan dia mencari pendapatannya sehingga tidak mampu berbuat apa-apa. Dia memerintahkan isterinya agar mencari sesuatu untuk menanggung keluarganya. Kemudian perempuan itu datang ke rumah seorang kaya dan meminta sedikit makanan untuk keluarganya. Orang kaya itu berkata: "Baiklah. Tapi serahkan dirimu untuk ku barang sebentar." Perempuan itu terdiam dan segera pulang ke rumahnya. Apabila pulang melihat anak-anaknya merengek-rengek, "Ibu, kami akan mati kelaparan. Berilah kami makanan." Hatinya tidak tertahan. Dia (kembali lagi ke rumah orang kaya tadi dan dia ceritakan perihal keluarganya. Lalu orang kaya itu bertanya: "Apakah engkau bersetuju dengan permintaanku?" Perempuan itu mengangguk.

Namun ketika berada dalam bilik yang sunyi itu, tubuh perempuan itu menggeletar seolah-olah seluruh anggota badannya hendak terlepas. Maka orang kaya itu bertanya: "Mengapakah engkau melakukan demikian?" Perempuan itu menjawab: "Sebenarnya aku takut kepada Allah." Kemudian orang kaya berkata: "Engkau telah takut kepada Allah bersama kefakiranmu. Maka semestinya aku lebih takut daripada engkau." Segera di menghentikan keinginannya terhadap perempuan itu. Diberikannya apa yang diminta oleh perempuan itu. Dan perempuan itu pulang membawa nikmat yang melimpah, sehingga keluarganya menjadi senang. Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa as: "Katakanlah kepada fulan bin fulan. Aku telah mengampuni dosanya." Lalu Nabi Musa datang kepada orang kaya tersebut seraya berkata, "Barangkali engkau telah berbuat suatu kebaikan antara engkau dengan Allah." Lalu orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dan Nabi Musa berkata: "Sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa-dosamu..." Demikianlah tersebut
kitab 'Majma'ul Lathaif.

Dirawikan daripada Nabi Muhammad saw, baginda bersabda: Sesungguhnya Allah telah berkata: "Aku tidak mengumpulkan pada hamba-Ku dua ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa takut kepada-Ku di dunia, Aku amankan di Akhirat. Dan barangsiapa (merasa) aman dari-Ku di dunia, Aku takutkan dia di Akhirat.

Allah swt berfirman:

"Maka janganlah engkau takut kepada manusia dan takutlah kepada-Ku."(Q.S. Al Maidah: 44)

Dalam ayat lain Allah berfirman:

Ertinya: "Janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku." (Q.S. Al Imran: 175)

Pernah pada suatu ketika Umar bin Khathab jatuh pengsan, manakala mendengar ayat Al-Quran dibaca. Kemudian pada suatu ketika dia mengambil sepotong kayu sambil berkata:

"Sekiranya aku menjadi kayu, tidaklah aku menjadi seperti ini. Dan jika sekiranya ibuku tidak melahirkanku." Beliau menangis teresak-esak. Air matanya mengalir membasahi pipinya. Sehingga pada mukanya ada dua garis hitam bekas air mata. Sehingga

Rasulullah pernah mengatakan,

"Api (neraka) tidak akan menjilat orang yang pernah menangis kerana takut kepada Allah swt. Sehingga air susu kembali ke buah dada."

Tersebut dalam kitab, 'Raqaiqil Akhbar'.

Pada hari Kiamat seorang hamba dipanggil. Oleh kerana amalan buruknya lebih banyak, maka diperintahkan dia masuk Neraka. Kemudian sehelai rambut di pipinya berkata: "Ya Tuhanku, utusan Mu Muhammad telah bersabda, "Ba-rangsiapa menangis kerana takut kepada Allah, maka Allah mengharamkan mata itu dalam Neraka." Dan sesungguhnya aku telah menangis kerana takut kepada Engkau." Lalu Allah mengampuni dan menyelamatkannya daripada api Neraka-berkat sehelai rambut. Kemudian Jibril mengumumkan "Fulan bin Fulan telah selamat, berkat sehelai rambut!"

Tersebut pula dalam kitab 'Bidayatul Hidayah':

"Manakala hari Kiamat, didatangkanlah api yang bergemuruh. Hingga menggetarkan hati setiap umat. Ketika mereka mendekatinya, gemuruh semakin keras. Hingga terdengar dari jarak perjalanan lima ratus tahun. Setiap orang sampai para nabi berkata: "Nafsi-nafsi" (sendiri-sendiri). Kecuali Nabi Muhammad saw. Beliau berkata, "Umatku-umatku." Kemudian keluarlah api bagaikan gunung. Umat Muhammad berusaha menolaknya sambil berkata: "Demi orang-orang yang bersolat. Demi orang-orang shiddiq. Demi orang-orang yang khusyuk. Dan demi orang-orang yang berpuasa. Kembalilah engkau wahai api!" Tetapi api itu tidak juga kembali. Jibril as berkata: Sesungguhnya api hendak membakar umat Muhammad." Lalu dia datang menghampiri Nabi Muhammad saw dengan membawa segelas air sambil berkata: "Ambillah air ini. Percikkan ia ke api itu!" Kemudian Nabi memercikkan ke api itu. Dan seketika itu api menjadi padam. Lalu Nabi bertanya: "Air apakah ini?" Jibril berkata: "Itulah air mata umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah dan sekarang aku diperintahkan untuk memberikan air itu kepadamu supaya engkau memercikkannya ke api sehingga padam dengan izin Allah."

Rasulullah saw seringkali berdoa:

"Ya Allah berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis."

Diceritakan daripada Muhammad bin Munzir ra. Manakala menangis, beliau mengusapkan air mata ke muka dan janggutnya sambil berkata:

"Telah aku dengar bahawa api tidak akan menjilat muka yang basah oleh air mata. Maka sayugianya orang mukmin takut akan seksa Allah serta menahan diri daripada nafsu dan syahwat.

Allah telah berfirman:

"Maka barangsiapa yang derhaka. Dan mengutamakan hidup di dunia. Maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya. Maka sesungguhnya Syurga lah tempat diamnya." (Q.S. An Nazi' at: 37-41).
Anjung Siber
Ahli Kanan
Ahli Kanan
 
Posts: 151
Joined: Sun Feb 08, 2004 2:51 am

Return to Rujukan & Artikel Pilihan

Who is online

Users browsing this forum: No registered users and 1 guest

cron