![]() |
|
|
|
|
|
|
Bahagian 1 :
Permulaan
Dokumen ini dinamakan Kod Etika forum
BicaraMuslim.com
Di dalam dokumen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain - a. "BicaraMuslim.com" ialah
laman forum internet yang menggunakan web browser untuk akses.
1. Kod etika ini adalah garis panduan perbincangan di forum BicaraMuslim.com. Ia dirangka sebagai satu kaedah mencapai matlamat utama BicaraMuslim.com, iaitu : i. BicaraMuslim.com sebagai medan mempertingkatkan silaturrahim sesama Muslim dan dengan bukan Muslim. ii. BicaraMuslim.com sebagai ruangan untuk ingat memperingati kearah amar makruf nahi mungkar serta peningkatan fikrah dan amal. iii. BicaraMuslim.com sebagai landasan bertukar pendapat dan maklumat berkaitan Islam serta lain-lain subjek bagi kebaikan bersama. iv. BicaraMuslim.com sebagai pemangkin bagi memperkembangkan kemampuan ahli mengatur aktiviti dan kegiatan yang berpotensi memberi sumbangan kearah peningkatan ilmu dan amal. 2. Kod etika ini juga berfungsi sebagai agen pemantau bagi mempastikan perbincangan di forum ini berlangsung di dalam suasana harmoni dan baik. Kod etika ini boleh dipinda, ditambah atau dikurangkan mengikut keperluan dan kesesuaian dari masa ke semasa. 3. Semua penulisan dan pendapat yang ditulis di BicaraMuslim.com adalah pendapat peribadi penulis berkenaan. Jemaah pengendali, pengurusan BMC dan webmaster adalah tidak bertanggungjawab keatas apa-apa kesilapan atau kekeliruan yang mungkin ditimbulkan oleh mana-mana penulis di dalam penulisan mereka. Laman web forum BicaraMuslim.com tidak boleh dijadikan tempat rujukan muktamad kepada segala bentuk sumber perundangan, hukum-hakam dan apa jua yang melibatkan ilmu dan amalan Islam. 4. Ahli yang menulis atau meletakkan sebarang objek termasuk imej, URL, smiley dan sebagainya di BMC diingatkan supaya berfikir dan berhati-hati dengan setiap apa yang ditulis atau diletakkan di sini, kerana semuanya akan dicatit ke dalam Buku Amalan kita sebagai sebahagian dari perbuatan kita, yang mana di akhirat nanti kita akan dipertanggungjawabkan keatasnya. 5. Semua ahli diminta tidak sewenangnya memberikan jawapan dan pendapat kepada mana-mana persoalan, berdasarkan kepada sangkaan dan pendapat peribadi tanpa merujuk kepada mana mana pendapat muktabar yang diterima. Ingatlah, pendapat peribadi kita yang salah dan silap, dan berkemungkinan bercanggah dengan ajaran sebenar Islam, mungkin akan diterima pakai dan diamalkan oleh saudara-saudara kita yang lain. Oleh itu sikap berhati-hati saudara semua adalah amat diperlukan dan dihargai. 6. Sejajar dengan matlamat yang digariskan
di atas, mana-mana tajuk atau pendapat yang ditulis atau imej atau URL
yang diletakkan di mana-mana ruangan bicara BMC, melainkan diberitahu atau
dinyatakan sebaliknya, yang difikirkan atau diputuskan oleh pengendali
atau pengurusan BMC atau kedua-dua entiti , sebagai bertentangan dengan
perkara-perkara yang dinyatakan di bawah, akan diputuskan sebagai tindakan
yang bercanggah dengan etika komunikasi dan penulisan BicaraMuslim.com.
1.1 Segala tafsiran dan perlaksanaan etika ini adalah terletak secara muktamad di bawah budi bicara pengendali bertugas dan/atau pengurusan BMC. 1.2 Mana-mana klausa dan/atau artikel di dalam kod etika ini adalah boleh diubah, dibuang atau ditambah oleh pengurusan BMC mengikut kesesuaian, pada bila-bila masa yang diperlukan. 1.3 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang bermaksud atau membawa maksud merendah-rendahkan, menghina, memperlekeh, mempersenda, menjatuh atau yang seumpama dengannya, nilai dan keagungan Allah SWT, RasulNya, Al-Quran, sunnah Rasulullah s.a.w, para nabi, ulamak-ulamak dan hukum-hukum Islam, di dalam segala rupa bentuk, sama ada secara langsung atau tidak langsung. 1.4 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang bermaksud atau membawa maksud merendahkan pandangan atau pendapat mana-mana mazhab yang telah diterima oleh Ahli Sunnah Wal Jama’ah. 1.5 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang diketahui bertentangan dengan mana-mana fatwa Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri. Ahli BMC yang menulis adalah bertanggungjawab untuk mempastikan bahawa sebarang penulisan atau perletakan imej atau URL adalah tidak bercanggah atau bertentangan dengan mana-mana fatwa Kerajaan Negeri atau Pusat, sebelum diletakkan ke dalam forum diskusi BicaraMuslim.com. 1.6 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang berniat memburuk-burukkan atau membawa maksud memburukkan mana-mana kumpulan Islam yang diketahui benar mengikut kefahaman Aqidah Ahli Sunnah Al Jama’ah atau yang tidak difatwakan sesat, sama ada yang sedang bergiat di dalam atau pun di luar negara. 1.7 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan
sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang bermaksud atau membawa maksud
mengajak, merujuk, menerangkan atau yang seumpama dengannya, yang melibatkan
kegiatan yang diketahui bercanggah dengan hukum Islam.
2.1 Ahli BMC adalah dilarang membawa sebarang topik atau perbincangan politik kepartian yang menjurus kepada hina menghina dan cabar mencabar yang memungkinkan timbulnya sikap permusuhan, perasaan kecil hati, pemutusan silaturrahim, tuduh menuduh dan sebagainya. 2.2 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang bermaksud atau membawa maksud, sama ada secara langsung atau tidak langsung yang berbunyi atau berniat atau berbau atau membawa pengertian perkauman. 2.3 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, imej atau URL yang bermaksud, membawa maksud atau melibatkan sikap merendah-rendahkan sesuatu golongan, individu atau kedua-dua entiti tersebut. Golongan atau individu yang dimaksudkan termasuklah kaum wanita, kumpulan-kumpulan tertentu seperti orang cacat, orang buta, kanak-kanak istimewa atau yang seumpama dengannya. 2.4 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang tajuk, penulisan, frasa, perkataan, imej atau URL yang berunsurkan seksual yang mungkin membawa dua maksud atau menjadikan perempuan atau lelaki sebagai simbol, elemen, objek nafsu dan seks atau merendahkan martabat kaum wanita atau lelaki, atau yang membawa maksud yang seumpama dengannya. 2.5 Ahli BMC dinasihatkan meletakkan
tajuk atau penulisan dengan menggunakan bahasa yang sesuai dengan kehendak
Islam. Penggunaan kata-kata kasar, kesat, celupar, menghina atau yang seumpama
dengannya adalah dilarang. Ahli BMC adalah bertanggungjawab untuk memastikan
segala tajuk dan perbincangan sentiasa dibina diatas rasa ukhuwah, kasih
mesra dan sopan santun.
3.1 Ahli BMC adalah bertanggungjawab untuk mempastikan segala penulisan dan penyebaran maklumat di BicaraMuslim.com diambil daripada sumber yang sahih dan bukan berdasarkan khabar angin, tekaan atau sumber maklumat yang belum dipastikan kesahihannya. 3.2 Ahli BMC adalah dilarang meletak sebarang topik, penulisan, imej atau URL yang merujuk, menerangkan, menggambarkan atau seumpama dengannya, yang melibatkan perbuatan yang bercanggah dengan prinsip hakcipta dan harta intelek, atau yang melibatkan aktiviti spamming, penggodaman (hacking), Denial of Service (DoS), penyebaran virus, worm, trojan dan seumpamanya. 3.3 Penulis adalah bertanggungjawab terhadap apa-apa yang ditulisnya. Bagi mana-mana maklumat dan rujukan yang diambil daripada sumber dan/atau laman web selain dari di BicaraMuslim.com, penulis adalah diminta menyertakan nama sumber dan/atau URL atau link kepada artikel yang diambil, sebagai satu cara pengiktirafan dan menghormati hak empunya sumber asal. 3.4 Sekiranya penulis tidak meletakkan apa-apa nama sumber, URL atau link di dalam tulisannya, secara sendirinya tulisan itu adalah dianggap hasil tangan penulis berkenaan, dan dengan itu penulis adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa-apa implikasi yang mungkin timbul atau akan timbul ekoran daripada penulisan tersebut, termasuk tanggungjawab untuk menjelaskan, mempertahankan dan jika perlu, mengubah tulisan itu. 3.5 Selaras dengan ini juga, sebarang
pengambilan rujukan, artikel atau seumpama dengannya daripada laman BicaraMuslim.com,
yang diletakkan atau disebarkan ke mana-mana media, perlu dinyatakan sumbernya
sebagai daripada BicaraMuslim.com.
4.1 Ahli BMC tidak dibenarkan meletak, menulis atau mengiklan sebarang perkara yang membawa maksud aktiviti atau anjuran aktiviti, di dalam mana-mana forum khusus tanpa memperolehi kebenaran daripada pengendali forum berkenaan. Kebenaran daripada pengendali boleh diperolehi sama ada melalui emel, hubungan telekomunikasi atau apa-apa mod hubungan yang membawa maksud perhubungan dua hala. Pengendali forum berkenaan adalah berhak untuk memberikan kelulusan atau menolak permohonan tersebut. Rayuan bagi maksud permohonan yang ditolak boleh dikemukakan kepada pengurusan BMC. 4.2 Ahli BMC tidak dibenarkan meletak, menulis atau mengiklan apa-apa aktiviti atau kegiatan yang membawa maksud pungutan wang, untuk apa-apa tujuan, tanpa kebenaran pengendali sesuatu forum. Kebenaran daripada pengendali boleh diperolehi sama ada melalui emel, hubungan telekomunikasi atau apa-apa mod hubungan yang membawa maksud perhubungan dua hala. Pengendali forum berkenaan berhak untuk memberikan kelulusan atau menolak permohonan tersebut. Rayuan bagi maksud permohonan yang ditolak boleh dikemukakan kepada pengurusan BMC. 4.3 Ahli BMC tidak dibenarkan merancang,
mengelola, menganjur atau mengurus apa-apa aktiviti peribadi atau rasmi,
sama ada secara virtual atau realiti, yang menggunakan ruangan atau nama
BicaraMuslim.com tanpa mendapat kebenaran atau kelulusan daripada pengurusan
BMC. Pengurusan BMC boleh dihubungi melalui pengendali forum, sama ada
melalui emel, hubungan telekomunikasi atau apa-apa mod hubungan yang membawa
maksud perhubungan dua hala. Pengendali berkenaan akan menghubungi pengurusan
BMC, yang mana setelah mengadakan perbincangan, berhak untuk melulus atau
menolak permohonan tersebut. Rayuan bagi maksud permohonan yang ditolak
boleh dikemukakan semula kepada pengurusan BMC.
5.1 Ahli BMC adalah dilarang meletakkan sebarang topik, penulisan, imej atau URL yang bermaksud atau membawa maksud mengajak perbincangan untuk mempertikaikan perkara-perkara yang melibatkan : a. Kedudukan Hadith dan Sunnah
Rasulullah s.a.w. di dalam agama Islam
5.2 Ahli BMC diminta tidak mencampurkan perbincangan kosong di dalam topik-topik yang sedang diperbincangkan. Ahli BMC dinasihatkan untuk menghormati sesuatu majlis perbincangan dan berlaku adil kepada ahli lain yang sedang berbincang di situ. 5.3 Ahli BMC diminta untuk mempastikan segala pembukaan topik baru dibuat di bicara yang bersesuaian. Contohnya, perbualan kosong tidak seharusnya dimasukkan ke dalam Bicara Muslim atau Bicara Al-Quran dan begitu juga topik-topik yang serius dan ilmiah tidak sepatutnya dibuka di Bicara Umum. Mana-mana topik yang kurang sesuai dengan sesuatu bicara akan dipindahkan oleh pengendali ke bicara lain yang lebih sesuai. 5.4 Ahli BMC diminta tidak menggunakan huruf besar dalam kesemua perkataan yang digunakan atau mencampurkan huruf besar dan kecil dalam sebarang penulisan. 5.5 Ahli BMC diminta menggunakan nickname yang tidak membawa maksud atau mempunyai makna yang buruk. Bagi mana-mana nickname yang tidak sesuai pada pandangan pengurusan BMC dan/atau pengendali forum, pemilik nickname tersebut akan dinasihatkan untuk memilih nama lain. 5.6 Ahli BMC diminta tidak meletakkan
imej bersaiz besar (panjang x lebar) atau berat (kilobyte) atau banyak
imej-imej kecil yang sama, yang akan memperlahankan paparan topik dan mengganggu
keselesaan ahli lain.
Mana-mana tajuk atau komen yang ditulis atau imej atau URL yang diletakkan di BicaraMuslim.com, melainkan diberitahu atau dinyatakan sebaliknya, yang difikirkan atau diputuskan oleh pengurusan BMC atau pengendali forum atau kedua-dua entiti, bertentangan dengan perkara-perkara yang dinyatakan diatas, akan diputuskan sebagai tindakan yang bercanggah dengan etika komunikasi dan penulisan BicaraMuslim.com. Tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh pengurusan BMC atau pengendali forum atau kedua-dua entiti adalah mengikut turutan berikut: 1. Ahli BMC terbabit akan diberikan peringatan, teguran atau nasihat agar tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan. Mana-mana tajuk, penulisan atau imej yang bercanggah dengan etika ini akan diubahsuai atau dibuang. 2. Ahli BMC terbabit akan diberikan peringatan kali kedua yang lebih tegas agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. Mana-mana tajuk, penulisan atau imej yang bercanggah dengan etika ini akan diubahsuai atau dibuang. 3. Ahli BMC terbabit akan diberikan peringatan kali ketiga dan penulisannya akan dibuang dari forum. 4. Ahli BMC terbabit akan diberikan peringatan kali keempat dan topik berkenaan akan dikunci atau dibuang. Disamping itu, ahli BMC tersebut juga akan dilarang dari menggunakan sebarang forum diskusi BicaraMuslim.com. Nickname ahli bicara tersebut juga akan disenaraihitamkan. Tindakan-tindakan yang diambil akan disertakan dengan pesanan dan nasihat yang bersesuaian. Di mana perlu, hujjah dan dalil samada naqli dan aqli akan diberikan berdasarkan sumber-sumber dari Al-Quran, Hadith, Ijma’ Ulamak dan Qias. Bagi kes-kes tertentu, pengurusan
BMC dan/atau pengendali adalah berhak melaksanakan budi bicara untuk tidak
mengikut turutan di atas, bagi melindungi kepentingan agama Islam, kepentingan
ahli BMC dan kepentingan laman BicaraMuslim.com ini.
Segala yang berkaitan dengan Etika BicaraMuslim.com di atas adalah semata-mata bertujuan untuk mempertingkatkan pencapaian objektif BicaraMuslim.com, yang penghujungnya ialah mencapai keredhaan Allah SWT. Diatas segala kerjasama yang anda
berikan, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Penyertaan anda di BicaraMuslim.com
adalah sesuatu yang amat kami hargai, dan dengan penyertaan tersebut, semuga
Allah SWT mengurniakan kebaikan kepada kita dan kesemua pengunjung amnya.
|
|
|
|
| ©2001, 2004, 2006 BicaraMuslim.com |
kod_etika.html / Rev-2a
/ 10-Apr-2006
|